Nasional

Pertanian, pejabat guaman dibenarkan beroperasi di zon PKPD

KERAJAAN membenarkan aktiviti pertanian di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pengecualian itu diberikan bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

“Bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara, kawasan penanaman padi yang terletak di dalam kawasan PKPD seperti di Ijok, Kuala Selangor, adalah dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan turut membenarkan firma guaman menjalankan aktiviti seperti biasa.

Ini kerana mahkamah akan dibuka mulai 5 Julai dan urusan-urusan dokumentasi yang melibatkan jabatan kerajaan termasuk pejabat tanah, institusi perbankan dan prosiding mahkamah serta lain-lain perkara perlu dilaksanakan.

“Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk membenarkan firma guaman menjalankan aktiviti seperti biasa.

“Walaubagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) terperinci akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dalam masa terdekat,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu semalam, 711 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 672 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (169), tidak memakai pelitup muka (121), tiada penjarakan fizikal (116), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (61), membawa penumpang berlebihan (23) dan lain-lain kesalahan (221).

Dalam pada itu lima kilang dan empat premis diarahkan tutup semalam kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.-SM

 

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button