Politik
Trending

Darurat: Pimpinan PH perlu berbincang

PIMPINAN Parti Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) diseru berbincang mengenai pelaksanaan Perintah Darurat.

Perbincangan tersebut adalah bagi mencari kaedah penyelesaian kepada isu politik dan Koronavirus (Covid-19) supaya dapat mengelak daripada pelaksanaan Perintah Darurat.

Ini kerana, perintah tersebut dipercayai akan memberi kesan yang cukup besar kepada pelbagai aspek seperti politik, ekonomi dan sosial.

Oleh demikian, pimpinan parti komponen dalam gabungan itu diminta berbincang dengan segera dan memainkan peranan dengan berkesan sebagai pembangkang.

“Kita seharusnya berbincang dengan kadar segera agar kita boleh mengemukakan pelbagai pandangan konstruktif untuk menyelamatkan negara dari pengisytiharan darurat.

“Saya percaya bahawa Pakatan Harapan pasti boleh berperanan dalam mengemukakan cadangan yang bersesuaian kepada pihak kerajaan agar pengisytiharan darurat ini boleh dielakkan.”

Demikian kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.

Terkini, Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bersama lapan Raja-Raja Melayu sedang bermesyuarat di Istana Negara.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung pada hari ini bermula kira-kira pukul 2.30 petang tadi bagi membincangkan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin pada Jumaat lalu menghadap As Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz di Pekan Pahang bagi mempersembahkan cadangan-cadangan untuk menangani wabak Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Susulan itu, Istana Negara dalam satu kenyataan semalam mengesahkan pertemuan tersebut, namun tidak memerperincikan cadangan yang dipersembahkan.

Bagaimanapun, ramai pihak yakin antara cadangan tersebut adalah pelaksanaan Perintah Darurat yang memerlukan perkara itu dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyeru supaya Perintah Darurat tidak dilaksanakan.

Sebaliknya, kerajaan serta pembangkang perlu berberanan sebagai ‘bipartisanship‘ dan duduk semeja untuk berunding bagi meluluskan Belanjawan 2021, tanpa ada pilihan raya.

SYED SADDIQ

Tegas beliau, kerajaan tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan menggantung Parlimen kerana dikatakan tidak mempunyai sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

“Tidak perlu isytihar darurat, panggil semua duduk semeja untuk luluskan Belanjawan 2021, tanpa ada pilihan raya.

“Dahulu saya diperlekehkan apabila mencuba untuk pinda perlembagaan (UNDI18) walaupun kerajaan tiada sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

“Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia tetapi, Alhamdulillah, kerana ‘bipartisanhip‘, kita berjaya lakukan bersama.

“Ketepikan ego dan pecahkan tembok kepartian demi Malaysia tercinta.

“Saya berharap Perdana Menteri boleh mempertimbangkan cadangan saya.

“Kalau takut tidak cukup sokongan di Parlimen, jangan ambil jalan mudah untuk gantung parlimen dan demokrasi,” jelasnya – SM

 

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button