Berita

Seorang peserta pendakian Gunung Everest meninggal dunia, seorang lagi hilang

Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacob, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 19 Mei 2023 semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023.

Ekspedisi tersebut disertai oleh beliau bersama dengan tiga (3) orang pendaki dan seorang pasukan sokongan.

Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang menghulurkan bantuan yang sewajarnya untuk membawa turun jenazah mangsa dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.

Kementerian Luar Negeri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Pada masa sama, kementerian juga ingin mengesahkan kehilangan Muhammad Hawari Hashim, salah seorang peserta ekspedisi tersebut yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Beliau dipercayai telah berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan telah bergerak turun selepas itu namun masih belum dapat dikesan sehingga kini.

Wakil Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang sedang giat menjalankan usaha pencarian mangsa di sekitar kawasan tersebut.

Sebarang perkembangan terkini misi pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Ekspedisi Keluarga Malaysia Everest 2023 anjuran Kelab Eksplorasi Malaysia dengan penglibatan empat orang pendaki dan seorang pasukan sokongan telah meninggal dunia pada hari ini di Camp 4 ketika cuba melakukan percubaan untuk menawan puncak Everest.

Peserta yang meninggal dunia merupakan Ketua Penyelaras Misi Malaysia Everest 2023.

Difahamkan bahawa Allahyarham telah terjatuh pada ketinggian lebih 7,900 meter daripada aras laut dan kemudiannya telah dibawa turun ke Camp 4 oleh operator yang bersama dengan peserta Ekspedisi.

Ketika di Camp 4, Allahyarham telah mengalami komplikasi dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada ketika ini, operator lantikan Kelab Eksplorasi Malaysia iaitu Pioneer Adventure Pvt. Ltd. sedang dalam proses untuk membawa turun jenazah ke Base Camp.

Di Base Camp, jenazah akan diterbangkan menggunakan helicopter ke TU Teaching Hospital Kathmandu untuk urusan pos mortem, laporan polis, dokumentasi dan juga pengawetan jenazah untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Difahamkan bahawa bagi urusan membawa turun jenazah daripada Camp 4 ke Teaching Hospital akan memakan masa selama empat ke lima hari. Bagi urusan di hospital hingga membolehkan jenazah dibawa pulang ke Malaysia pula akan mengambil masa dua ke tiga hari.

Urusan membawa turun jenazah didapati memakan masa disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu yang membawa hujan lebat, ribut salji dan angin kencang yang menyukarkan urusan membawa turun jenazah.

Ekspedisi ini merupakan Ekspedisi berprofil tinggi yang melibatkan Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor, Pro Chansellor Universiti Teknologi Malaysia selaku Penasihat.

Selain itu Ekspedisi ini juga telah menerima dana daripada Petronas dan juga Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM pada tahun lalu. Ekspedisi ini juga telah mendapat liputan media yang meluas di Malaysia.

Sebelum Ekspedisi ini bermula, peserta Ekspedisi telah mengadakan kunjungan hormat kepada Sultan Kedah, Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan, dan juga beberapa orang kenamaan bagi mendapatkan sokongan bagi menjayakan Ekspedisi ini.

 

(Visited 1,429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button