fbpx
Nasional

Persidangan Antarabangsa Kursi Jamalullail secara digital berjalan lancar

‘Persidangan Antarabangsa Kursi Jamalullail Untuk Sunnah Nabawiyyah (JCIC1)’ yang berlangsung secara digital pada 18 dan 19 November 2020 dianjurkan buat julung kalinya oleh Pejabat Kursi Jamalullail Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Bahagian Pengajian Qur’an dan Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM dengan kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.

Menurut titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah berkenan menyempurnakan majlis perasmiannya secara digital, persidangan tersebut berjaya mengupas tentang kewujudan masalah intelektual yang memerlukan perhatian ilmiah. Para ahli akademik terlibat berjaya membincangkan kaedah yang dipersetujui dalam usaha menghuraikan keraguan berkaitan ayat al-Quran dan Hadis yg dianggap sebagai tidak jelas. Ini adalah platform untuk berkongsi pengetahuan dan perbahasan intelektual melibatkan kemusykilan al-Quran dan al-Hadith.

Melalui persidangan ini, harapan baginda ialah hasilnya bukan sekadar penyelesaian tetapi juga akan menyaksikan perubahan sikap dalam menangani perselisihan. Tema persidangan ini juga mendedahkan kepada semua tentang pandangan para sarjana yang berbeza dari pelbagai dimensi.

Sesungguhnya pembentukan Kursi Jamalullail itu sendiri adalah bertujuan untuk mempromosikan penyelesaian masalah dan penyelesaian konflik sebagai ciri penyelidikan dan pengetahuan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berharap kepada semua para pembentang kertas kerja, agar perbincangan dan perbahasan tersebut dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dengan membuka jalan kepada mereka untuk terus belajar menghargai kekayaan pengetahuan melalui perbezaan dan perbahasan mengenainya.


Sebanyak 92 kertas kerja dibentangkan secara maya oleh para pembentang daripada dalam dan luar negara termasuklah Indonesia, Brunei Darussalam, Arab Saudi, Palestin, Mesir, Kuwait, Yaman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Qatar, Iraq, Bangladesh, Turki dan Libya, selain negara tuanrumah Malaysia.

Untuk rekod juga, Kursi Jamalullail yang ditubuhkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah melakar satu lembaran penting dalam pembangunan bidang kajian serta pendidikan tinggi di Malaysia. Ia sejajar dengan harapan negeri Perlis dalam membantu Institusi Pengajian Tinggi mencapai momentum melalui aktiviti akademik dan kajian-kajian dalam pelbagai cabang ilmu.

Sementara itu Penyelaras Kursi Jamalullail MAIPs-UIAM, Dr Azrul Azlen Abdul Hamid mamaklumkan bahawa setakat ini pihak penganjur mendapat maklumbalas yang sangat baik dari para pembentang khususnya dari luar negara di atas penganjuran persidangan secara atas talian yang dilaksanakan.

Antara komen mereka adalah tema persidangan yang sangat relevan dengan isu semasa berkaitan Al-Quran dan Hadis.
Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan ilmuan dari 15 buah negara sekaligus membina jaringan baharu antara sesama pembentang selain para pembentang tidak perlu ‘terbang’ ke negara lain untuk membentangkan kertas kerja. Hanya berada di rumah atau pejabat, pembentangan boleh dilakukan.

Tambah Azrul Azlen, para pembentang turut berpeluang untuk menerbitkan kertas kerja mereka dalam jurnal antarabangsa berstatus ‘scopus’ yang diuruskan oleh pihak UIAM. Kertas kerja yang tidak terpilih pula akan dimasukkan ke dalam jurnal-jurnal lain yang juga dikendalikan oleh UIAM. Pada masa yang sama juga para pembentang luar negara juga berhasrat untuk belajar dari penganjur tempatan bagaimana cara penganjuran persidangan secara atas talian sekaligus membuka jaringan yang lebih luas dengan universiti-universiti luar negara.

Azrul Azlen mewakili Pejabat Kursi Jamalullail MAIPs-UIAM mempersembahkan ucapan jutaan menjunjung kasih kepada Tuanku Raja Muda Perlis dan juga penghargaan kepada pihak pengurusan MAIPs atas sokongan padu yang diberikan bagi menjayakan persidangan ini.

Show More

Related Articles

Back to top button