Politik

Untuk bekerjasama, UMNO perlu jadi induk bukan pemain kedua

PIHAK yang mahu bekerjasama dengan UMNO perlu meyakini kemampuan parti itu sebagai pengemudi induk.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO tidak mahu menjadi pemain kedua yang sekadar dikutip hanya untuk memenuhi kuota atau bilangan kerusi yang diperlukan.

Apa yang lebih penting, menurutnya, tidak ada mana-mana pihak yang boleh sewenang-wenangnya untuk mengarah pemimpin UMNO.

“Yang penting, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan kita, mesti meyakini kemampuan UMNO, untuk menjadi pengemudi induk.

“Bukan pemain kedua, yang sekadar dikutip, untuk memenuhi kuota, atau bilangan kerusi yang diperlukan.

“Tidak ada mana-mana pihak ataupun individu, yang boleh memberitahu, atau mengarahkan UMNO, tentang bagaimana dan dengan siapa, kita harus berunding untuk membentuk sebuah kerajaan,” katanya.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pagi ini, Mohamad sekali lagi menegaskan UMNO bukan sebuah parti terdesak.

UMNO akan kekal dengan jati dirinya yang tidak akan berhenti memberi kebaikan kepada orang Melayu, orang bukan Melayu dan Malaysia.

Justeru beliau memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak mengugut UMNO.

“Dan ini bermakna, UMNO tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi UMNO. Kerusi UMNO adalah kerusi UMNO, dahulu, kini dan selamanya. Ia bukan untuk dilepaskan, demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.

“Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan UMNO. Kita tidak akan mengalah. Kita tidak akan melatah.

“UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah, dan perpaduan Melayu, yang dibuat-buat,” tegas beliau.

Sementara itu, Mohamad berkata, dalam hasrat untuk memimpin semula Malaysia, UMNO tidak akan mendesak sesiapa pun untuk menyertai BN.

UMNO akan akan menggunakan pendekatan “Bekerja dengan BN” agar satu keampuhan politik boleh dibentuk untuk mengurus negara selama lima tahun akan datang dengan stabil dan cemerlang.

“Bekerja dengan BN” akan menjadi slogan yang membuka pelbagai ruang, untuk UMNO meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik, tanpa perlu terikat dengan pelbagai konsensus politik, dan pensyaratan yang sempit dan merugikan,” kata Mohamad.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button