Luar Negara

Mesir lanjut darurat tiga bulan lagi

PRESIDEN Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi melanjutkan darurat di seluruh negara selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita Anadolu memetik warta rasmi negara itu.

Dalam dekri presiden, al-Sisi berkata aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan “berbahaya”.

Darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar.

Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang. Jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.

Bulan lalu, Kaherah mengenakan perintah berkurung pada waktu malam bersama dengan langkah-langkah pencegahan lain.

Memandangkan beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan sempena Ramadan, Mesir yang mempunyai hampir 100 juta penduduk, turut mengambil pendekatan sama membenarkan pusat beli-belah dan kedai dibuka setiap hari.

Perintah berkurung bermula 9 malam berbanding sebelum ini 8 malam, sehingga 6 pagi.

Sekolah, universiti, masjid dan kawasan pelancongan masih ditutup.

Pada masa sama seramai 232 rakyat Mesir masih terkandas di Malaysia akibat sekatan perjalanan yang dikenakan kedua-dua negara susulan penularan wabak COVID-19.

Duta Mesir ke Malaysia Gamal Abdelrehim Metwally berkata daripada jumlah itu, sebanyak 114 terdiri pelancong, 22 orang sedang mendapatkan rawatan kesihatan dan 95 penuntut.

Beliau berkata pihaknya dan kerajaan Mesir sedang menguruskan untuk menghantar sebuah pesawat bagi membawa pulang kesemua yang terlibat dan menyediakan pusat kuarantin khas bagi tempoh 14 hari.

“Tindakan selanjutnya sedang dilaksanakan bagi persetujuan perkara ini.

“Ketika ini, sebahagian yang terkandas ditempatkan di hotel dan sebahagian lagi di rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Gamal berkata tiada warga negara itu di Malaysia dapat pulang ke negara mereka kerana penangguhan semua penerbangan komersial di antara dua negara itu.

Dalam perkembangan lain, duta itu berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia, pihak kedutaan telah menghubungi semua rakyatnya bagi menasihati untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Kedutaan sentiasa memantau rapat kepatuhan rakyat Mesir bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama antara dua negara itu dalam misi membawa pulang rakyat Mesir di Malaysia, beliau berkata kerajaan Malaysia sentiasa memahami dan bekerjasama sepenuhnya dalam membantu rakyat Mesir terkandas di sini, hasil daripada jalinan perhubungan yang rapat antara kedua-dua negara.

BERNAMA

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button