Nasional

Geran kerajaan pacu aktiviti Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong

MERASA bertuah dengan geran yang diterima untuk melancarkan segala program Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong sebuah badan bukan kerajaan (NGO), NGO ini mengakui dapat bergiat aktif bagi meningkatkan lagi taraf hidup wanita yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (Bintong), Perlis sejak tujuh tahun lalu.

Dengan keahlian sebanyak 350 orang, persatuan ini yang dipengerusikan oleh Rosmuna Ibrahim, 55, hanya mengutip yuran paling murah iaitu RM3 sebulan.

“Kita sedar kebanyakan ahli persatuan terdiri dalam kalangan suri rumah dan dengan menggalakkan mereka menabung sehari 10 sen dari lebihan pembelian barang-barang dapur, duit yang terkumpul itu dibayar sebagai yuran” kata Rosmuna atau lebih mesra dengan panggilan Cik Muna yang ditemui di kediamannya di Kampung Jarak, Jalan Raja Syed Saffi, Kangar.

Rosmuna Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Muna hargai bantuan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membolehkan Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong terus aktif.

Dengan kadar bayaran yuran serendah itu, kata Cik Muna, dapatlah persatuan menjalankan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada ahli selain menjaga kebajikan mereka.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sangat prihatin dan meletakkan rakyat di hadapan. Begitu juga dengan Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong yang tidak lupa memberi RM100 kepada  wanita yang baharu melahirkan anak.

Wang RM100  juga diberi kepada ahli keluarga yang ada kematian selain daripada sumbangan barangan dapur pada masa-masa tertentu, katanya.

Cik Muna juga berkata, apa yang paling menggembirakan ahli-ahli ialah apabila persatuan ini dipilih sebagai penerima geran sebanyak RM10,000 daripada Malaysian Incentive Community Enpowerment (MICE).

“Syukur ke hadrat Ilahi dengan geran sebanyak RM10,000 yang kita terima. Ini satu penyuntik semangat bagi kita semua untuk bukan sahaja bergerak proaktif tetapi juga menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekali lagi selepas pilihan raya umum 19 November ini.

“Geran ini diterima sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perlis 2022 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pada 25 Mac lalu. Terima kasih atas pemberian geran tersebut,” ujar Cik Muna.

Membuat nasi ulam, makanan tradisi Perlis antara aktiviti yang mengeratkan lagi hubungan sesama ahli Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong hasil geran yang diperoleh pada Mac lalu.

Tambah beliau, geran yang diterima itu juga menjadi pembakar semangat ahli-ahli dalam persatuan memandangkan kini telah mempunyai modal yang disalurkan oleh kerajaan bagi merancakkan lagi aktiviti persatuan.

Secara terus terang, kata Cik Muna lagi,”Bantuan ini amat dihargai kerana sebelum ini,  selama ini Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong terpaksa bergerak dengan yuran ahli sahaja.”

Mengimbas sedikit aktiviti yang dilakukan oleh Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong  selepas menerima geran tersebut, telah diadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan terbuka kepada masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.

Dari semasa ke semasa, Cik Muna terus giat menjalankan aktiviti setiap bulan merangkumi aktiviti menghidupkan kembali makanan lama seperti “nasi ulam” untuk dimasak bersama-sama ahli dan masyarakat.

Aktiviti seperti itu, ujar Cik Muna, bukan sahaja dapat menjalin hubungan baik sesama ahli tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan sesame penduduk setempat selain menyuntik semangat untuk terus bersatu padu dan menjalin ukhuwah.

“Aktiviti lain Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong, kita juga mengadakan kelas membuat kuah rojak. Apa yang membanggakan, ada ahli yang telah menjadikan ia sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, dengan bantuan kerajaan seperti ini telah disalurkan kembali kepada rakyat untuk dinikmati menerusi kegiatan yang berfaedah.

Sehubungan itu, Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong amat menghargai  segala bantuan yang diterima oleh NGO ini kerana bantuan ini bukan sahaja dari Kerajaan Pusat malah kerajaan negeri juga sentiasa menyokong aktiviti yang boleh memajukan kaum wanita untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Oleh itu, kata Cik Muna, impian Perdana Menteri  Ismail Sabri yang mahu membina “Keluarga Malaysia” yang harmoni, terus disokong rakyat demi masa depan Malaysia. – SM

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button