BeritaPendidikan

Perpaduan Teras Kekuatan Institusi Pendidikan – Zambry

TANJUNG MALIM, 6 Julai – Kekuatan sesebuah institusi pendidikan tidak hanya bergantung kepada kecanggihan fasiliti atau pencapaian individu, sebaliknya bertunjangkan semangat kolektif, kesepaduan tindakan dan perpaduan warga institusi secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menegaskan bahawa kejayaan institusi yang berpanjangan hanya dapat dicapai apabila seluruh warga universiti bergerak sebagai satu pasukan yang utuh.

“Tiada kejayaan yang dapat bertahan lama tanpa perpaduan, kepercayaan bersama dan kesepaduan tindakan. Inilah kekuatan sebenar mana-mana institusi pendidikan,” ujarnya ketika menyampaikan amanat penutup Program Karisma Pemikir MADANI bersama kepimpinan tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Royale Chulan Damansara, Selasa lalu.

Program yang menghimpunkan lebih 100 peserta itu disertai oleh ahli Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, pentadbir, serta ketua fakulti dan jabatan UPSI.

Zambry turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya toksik dan perpecahan dalaman di kampus yang boleh melemahkan sesebuah institusi.

“Kita tidak mampu membiarkan racun ini meresap ke dalam akar sistem pentadbiran dan akademik. Dunia akademik harus menjadi medan intelektual yang subur, bukan pentas persengketaan,” tegas beliau.

Beliau turut menyampaikan penghargaan terhadap komitmen warga UPSI dalam melonjakkan institusi itu ke tahap lebih progresif.

“Saya yakin dengan iltizam yang ditunjukkan, UPSI mampu muncul sebagai peneraju pendidikan negara dan pencetus perubahan dalam landskap pendidikan tinggi yang berdaya saing dan tahan uji.”

Pelancaran Buku Strategik

Dalam majlis yang sama, Zambry turut melancarkan buku “Isu dan Krisis Universiti” terbitan Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, yang mengetengahkan pemikiran strategik serta cadangan penyelesaian terhadap pelbagai isu tadbir urus, komunikasi dan pengurusan krisis di institusi pengajian tinggi.

UPSI Sambut Baik Amanat Menteri

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menyambut baik penganjuran program berimpak tinggi itu yang disifatkannya sebagai ruang refleksi dan pengukuhan kepimpinan dalam mendepani cabaran semasa.

“Penegasan tentang pentingnya perpaduan dan kesepaduan tindakan menjadi peringatan yang sangat relevan dalam mengemudi pendidikan pasca-pandemik dan era Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau yakin UPSI akan terus kekal sebagai institusi utama dalam melahirkan pendidik berkualiti tinggi dan menyumbang kepada matlamat Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Program Karisma Pemikir MADANI merupakan inisiatif bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI, yang bertujuan memperkasakan pemikiran kenegaraan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan kepimpinan universiti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button