Nasionalpilihan

Terima kasih SAR

Bapa kepada empat beranak yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor baru-baru ini mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang berjaya menemukan jasad ahli keluarganya.

Tai Seng Fui, 63, berkata, penemuan anak lelakinya, Tan Chang Lin, 35, menantu, Yu Siew Pay, 34, serta dua cucu Tai Jing Rou, 4, dan Tai Jing Key, 7, sudah cukup melegakannya daripada tidak menemui langsung mayat mereka.

Menurutnya, dia sehingga kini masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan anak, menantu serta dua cucu dalam sekelip mata.

“Saya sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik ini. Bukan sahaja kehilangan anak lelaki tetapi juga kehilangan menantu dan cucu.

“Walaupun tidak percaya dengan apa yang terjadi sekurang-kurangnya saya lega apabila mendapat tahu kesemua mayat berjaya ditemui di tempat kejadian oleh pasukan SAR.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang berjaya menemukan jasad ahli keluarga saya termasuk mangsa-mangsa lain,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menziarahinya di Taman Machap Indah, Machap Baru di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Noordin dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritenden Arshad Abu.

Terdahulu Mohd. Ali meluangkan masa hampir sejam selain turut menziarah sebuah lagi keluarga mendiang Lai Chee Sam yang turut terkorban bersama isteri serta dua anak mereka dalam kejadian tersebut.

Seng Fui berkata, anaknya serta sebuah lagi keluarga yang turut maut dalam kejadian itu tinggal di taman yang sama merupakan kawan baik serta mereka merancang bercuti di tapak perkhemahan pada musim cuti sekolah ini.

“Pada awalnya mereka ingin bercuti dan berkhemah pada Mac lalu namun apabila tempat penuh mereka menukar tarikh pada Disember ini sehingga berlaku tragedi yang sangat menyayat hati,” ujarnya.

Menurutnya, mayat keempat-empat ahli keluarganya telah dibakar di Taman Peringatan Huai En, Jelutong, Batu Berendam, pagi tadi.

Katanya, abu mayat mereka akan disimpan di Taman Peringatan Eternal (M) Berhad, Selandar, Jasin pada 29 Disember ini. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button