fbpx
Ekonomi

Perodua labur RM7 juta untuk mesin ‘stamping’ baharu

TANJUNG MALIM — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melabur sebanyak RM7 juta untuk mesin ‘press stamping’ baharu di kemudahan pembekalnya, IQM Sdn Bhd yang akan memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model-model terdahulu Perodua dan membantu IQM mengembangkan lagi perniagaan dan keupayaannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata mesin ‘press stamping’ hidraulik 1,600 tan itu akan menghasilkan komponen badan seperti bonet kereta, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua yang terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan Kancil.

“Keputusan Perodua untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model yang terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Pertama, kami mahu terus menyokong pemilik model-model terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan melalui perniagaan badan dan cat kami. 

“Kedua, kami komited untuk memperkasakan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja membeli daripada mereka tetapi turut membantu membangunkan mereka melalui pemindahan kemahiran dan teknologi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran mesin itu di sini hari ini.

Beliau berkata mesin itu turut mewakili komitmen Perodua kepada negara dan ekonomi, dengan meningkatkan daya saing ekosistem automotif tempatan serta meningkatkan kualiti dan kecekapan Perodua untuk menjadi syarikat yang lebih baik dan maju pada masa depan.

Zainal Abidin berkata acuan yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti turut dipindahkan ke IQM, yang menyediakan ruang lebih luas di kilang Perodua dan memudahkan operasinya secara keseluruhan.

Sejak 1994, PERODUA telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia, dan pada masa ini, satu pertiga daripada permintaan untuk alat ganti Perodua bagi model terdahulu.

Memandangkan semua model semasanya mempunyai lebih 90 peratus kandungan tempatan, Perodua adalah pembeli komponen automotif di negara ini, dengan membelanjakan sebanyak RM4.5 bilion ke atas alat ganti setakat ini pada tahun ini daripada peruntukan RM5.4 bilion untuk keseluruhan 2019.

Zainal Abidin berkata Perodua mengunjurkan perbelanjaan lebih RM6 bilion untuk pembelian komponen automotif pada 2020.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button