Jenayah

Disangka bawa susu unta, rupanya dadah bernilai RM100 juta

Dua suspek ditahan

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh di tanah juga. Disangkakan membawa susu unta, rupa-rupanya yang dibawa ialah dadah jenis ketamin bernilai RM100 juta.

Helah sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu bagaimanapun berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 4 Jun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kontena itu ditahan pada pukul 1 petang dan berjaya menemukan sejumlah paket produk susu unta dan susu kambing pracampuran keluaran tempatan.

“Turut terdapat dalam kontena itu ialah dadah jenis ketamin dengan berat kasar 2,500 kilogram atau 2.5 tan, yang dianggarkan berjumlah RM100 juta.

“Kontena 20 kaki (6.096 meter) itu tiba dari sebuah pelabuhan di Asia Selatan. Turut ditahan seorang lelaki warga asing berumur 55 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang disyaki terlibat dalam rangkaian sindiket antarabangsa ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurut Abdul Latif, siasatan awal mendapati kontena berkenaan diisytihar sebagai serbuk susu unta dieksport keluar negara pada akhir 2019.

Jelasnya, kandungan di dalam kontena tersebut dipercayai telah ditukar kepada dagangan yang hampir serupa tetapi diisi dengan campuran serbuk disyaki mengandungi dadah jenis ketamin sebelum diimport semula.

Ujar beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman 10 hari bermula 4 Jun lepas bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Ini adalah rampasan dadah terbesar kita tahun ini dan merupakan kes pertama kali modus operandi menggunakan produk pracampuran berbanding sebelum ini yang melibatkan produk teh,” jelasnya. – SM

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button