Politik

DAP Sabah harap PH tidak tolak kemungkinan Shafie jadi PM

KETIKA gabungan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengulangi pendirian agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menguasai kerajaan, DAP Sabah pula meminta mereka juga tidak menolak kemungkinan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal ke jawatan itu.

Walaupun menghormati keputusan Majlis Presiden PH agar Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri selepas ini, tetapi DAP Sabah tetap agar calon dari Malaysia Timur turut diberi pertimbangan.

“Kami menghormati keputusan majlis presiden PH untuk menegaskan kembali komitmen gabungan itu agar Anwar menjadi perdana menteri Malaysia.

“Namun, kami juga ingin memperingatkan para pemimpin gabungan kami untuk tidak sepenuhnya menolak individu dari Malaysia Timur daripada tampil untuk memimpin negara ini,” kata wakil rakyat DAP Sabah dalam satu kenyataan.

Wakil rakyat DAP Sabah yang terbabit dalam mengeluarkan kenyataan itu ialah Frankie Poon Ming Fung (Tanjong Papat), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Noorita Sual (Tenom), Jimmy Wong Sze Phin (Sri Tanjong), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Calvin Chong Ket Kiun  (Elopura).

Calon dewan undangan negeri Ronnie Loh Ee Eng dan senator, Adrian Banie Lasimbang juga turut terbabit dalam kenyataan tersebut.

Menurut mereka, adalah penting bagi pemimpin PH untuk sedar dan peka tentang siapa kawan dan siapa musuh.

Mohd Shafie kata mereka, sejak daripada awal beliau bersama Warisan telah bersama PH dalam susah dan senang.

“Tidak ada gabungan politik tanpa sokongan rakyat Malaysia Timur yang dapat memerintah negara ini.

“Oleh itu, kami percaya bahawa pilihan untuk Shafie sebagai calon perdana menteri harus tetap terbuka selagi Sabah kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia,” kata mereka.

Lagi pula kata mereka, Mohd Shafie sebagai ketua menteri Sabah, telah berjaya menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Hari ini Majlis Presiden PH sekali lagi menyatakan komitmen mereka menyokong pendirian asal iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Majlis Presiden juga memberitahu, Anwar mempunyai mandat penuh untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Shafie bagi meneruskan usaha mengambil semula kerajaan persekutuan.

Mohd Shafie dicadangkan sebagai salah seorang calon Perdana Menteri ekoran kebuntuan untuk memilih calon perdana menteri antara Anwar dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PKR sebelum ini pernah secara terbuka menolak Dr. Mahathir sebagai perdana menteri. – SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button