Agama

Lebih 2,000 jemaah haji alami keletihan haba

MEKAH: Lebih 2,000 jemaah haji mengalami keletihan haba ketika menunaikan ibadah haji tahun ini.

Perkara itu diumumkan pegawai Arab Saudi, selepas suhu meningkat kepada 48 darjah Celsius sejak dua hari lepas.

Lebih 1.8 juta orang menunaikan ibadah haji, dengan aktiviti kebanyakannya diadakan di luar bangunan pada kemuncak musim panas di negara berpadang pasir, Arab Saudi.

Pegawai Saudi berkata, kira-kira 1,700 kes keletihan haba direkodkan pada Khamis, memandangkan sejumlah besar jemaah haji kekal di Arafah, sehari selepas wukuf selesai.

Jelasnya, jumlah kes keletihan haba sejak awal Khamis, mencecah 1,721.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi menggesa orang ramai untuk menjauhkan diri daripada cahaya matahari dan minum air yang banyak untuk mengurangkan kesannya.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak memberikan angka sebenar kematian jemaah, tetapi sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan haji.

Jemaah haji tertua tahun ini, berusia 114 tahun dari Iran, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Agensi Fars Iran melaporkan 10 kematian dicatat membabitkan warga Iran.

Lapan warga Algeria dan empat warga Maghribi meninggal dunia, kata pegawai Arab Saudi.

Manakala media prokerajaan Mesir berkata lapan jemaah haji dari negara itu meninggal dunia.

Ratusan orang dirawat kerana masalah jantung, termasuk seorang lelaki Filipina berusia 78 tahun yang berjaya menjalani pembedahan jantung terbuka di Mekah.

Angka sebenar bagi keletihan haba, termasuk strok haba, kekejangan dan ruam mungkin jauh lebih tinggi kerana ramai penghidap tidak dimasukkan ke hospital atau klinik.

Orang ramai yang bergelut dalam keadaan panas adalah perkara biasa, terutama selepas solat di luar bangunan sepanjang hari di Arafah.

Pakar turut menjangkakan, suhu musim panas sehingga maksimum 50 darjah Celsius boleh muncul sebagai kejadian tahunan menjelang akhir abad ini.

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button