Politik

PN percaya tindakan Xavier tinggalkan PKR demi kepentingan rakyat

Parti Perikatan Nasional percaya tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr. Xavier Jayakumar keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mengutamakan kepentingan rakyat.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN juga percaya tindakan bekas Naib Presiden PKR yang mempunyai pengalaman luas itu adalah demi kesejahteraan rakyat.

“Parti Perikatan Nasional mengalu-alukan pengisytiharan terbuka Ahli Parlimen Kuala Langat yang juga mantan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Dato’ Dr. Xavier Jayakumar untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.

“Memandangkan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman luas, Parti Perikatan Nasional percaya bahawa keputusan itu telah dibuat bagi mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” kata Hamzah.

Menurut Hamzah, PN menyifatkan sokongan Xavier sebagai satu lagi manifestasi keyakinan terhadap kemampuan kerajaan pimpinan Tan Sri  Muhyiddin Yassin dalam membantu rakyat.

Ini terutama ketika negara menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang menjejaskan pekerjaan rakyat dan ekonomi negara.

Xavier yang merupakan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas semalam.

Faktor beliau berbuat demikian adalah kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi.

“Sehubungan itu, saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR berkuat kuasa serta-merta.

“Saya akan terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai Ahli Parlimen Bebas dan saya yakin akan dapat terus menunaikan janji pilihan raya kepada penduduk Kuala Langat,” katanya.

Xavier berkata, beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera, menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan satu-satunya parti yang pernah disertai sepanjang kerjaya politiknya.

“Sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan hanya untuk melengkapkan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

“Ini memerlukan sokongan bipartisan untuk memastikan kejayaan usaha kerajaan. Rakyat perlukan kestabilan dan menghidupkan semula sektor ekonomi yang semakin lumpuh.

“Untuk memastikan usaha ini berjaya, kita perlu bekerja bersama-sama, bukan menentang satu sama lain,” katanya.-SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button