Berita

Permohonan pindah kes Ahli Parlimen Baling ke Mahkamah Tinggi ditolak

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan ke rasuah, membabitkan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Datuk Abdul Latiff dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140juta, manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan tersebut atas alasan bahawa pertuduhan terhadap kedua mereka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA) tidak menimbulkan sebarang perkara yang baharu dari segi undang-undang.

“Adalah menjadi kebiasaan perbicaran kes di bawah Akta SPRM dan AMLTFPUAA dijalankan oleh Mahkamah Sesyen di seluruh negara. Mahkamah Sesyen adalah tidak kurang keupayaannya untuk menjalankan penghakiman terhadap kedua tertuduh,” katanya.

Tambah Mohd Nazlan, mengikut rekod kedua tertuduh telah didakwa pada Januari tahun ini dan pihak pendakwaan hanya memfailkan permohonan pemindahan pada September.

“Dan hanya pada akhir September, pada tarikh yang telah ditetapkan untuk perbicaran di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan memaklumkan pada hakim Mahkamah Sesyen yang mereka telah membuat permohonan, untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

“Saya tidak dapat lihat bagaimana perbicaraan yang akan dijalankan di Mahkamah Sesyen, akan menimbulkan sebarang prejudis terhadap kedua-dua tertuduh atau pendakwa. Saya menolak permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi,” kata hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Baizura Kamal memberitahu mahkamah bahawa kes tersebut merupakan satu kes yang menjadi perhatian masyarakat dan melibatkan isu perundangan yang kompleks.

“Ia bukan satu kes yang mudah. Abdul Azeez merupakan seorang tokoh masyarakat dan ahli politik. Jadi kami perlu memanggil saksi dalam kalangan tokoh masyarakat … dan juga pegawai rasmi kerajaan untuk menjadi saksi,” katanya dan memaklumkan pihak pembelaan yang diketuai peguam M.Athimulan dan Hisham Teh Poh Teik, tidak menolak permohonan pemindahan itu.

Berikutan perkembangan tersebut, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 12 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes, selepas diberitahu yang Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memberitahu mahkamah yang mereka akan mendapatkan arahan selanjutnya, sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pemindahan tersebut.

Pada 16 Jan lepas, Abdul Azeez, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta, berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Bagi pertuduhan rasuah, dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018

Tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara Abdul Latif, 61, menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah, membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad, daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) yang bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama.

— BERNAMA

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button