Nasional

Permohonan peguam untuk semak keputusan sekat hantaran di FB di tolak oleh Mahkamah

PERMOHONAN seorang peguam untuk untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sekatan yang dikenakan terhadap hantaran yang dimuat naik beliau di Facebook, tahun lalu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Memetik laporan Free Malaysia Today, peguam Shamsher Singh Thind memohon untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan pengguna media sosial di Malaysia disekat daripada mengakses hantaran itu yang dimuat naik pada Mei 2024.

Dalam permohonannya itu, Shamsher mendakwa MCMC mencabul kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran berkenaan.

Sehubungan itu beliau mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan oleh MCMC sebagai tidak sah, selain mahu MCMC menggugurkan “arahan” menyekat hantaran berkenaan kepada Facebook.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Anand Ponnudurai, berkata tindakan MCMC bukanlah satu “keputusan” yang boleh disemak oleh mahkamah.

Platform media sosial mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal kandungan, walaupun apabila digesa oleh pihak pengawal selia seperti MCMC.

Anand juga berkata, Shamsher gagal mengemukakan kes yang boleh dipertikai untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Dalam hantaran beliau, Shamsher cuba mengaitkan pemberian kontrak kerajaan dengan suami seorang Menteri Kabinet, yang mencetuskan perdebatan sengit dalam talian.

Shamsher berkata, Facebook kemudian menyekat siaran itu daripada dilihat dalam negara, selepas “penilaian undang-undang dan hak asasi manusia.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button