Ekonomi

Angkasa perluas kerjasama antarabangsa melalui koperasi masjid, sekolah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) komited untuk memperluas jaringan perniagaan  koperasi ke peringkat antarabangsa melalui pembangunan model Koperasi Kariah Masjid dan Koperasi Sekolah di negara ASEAN dan juga Asia Pasifik.

Perkara itu dinyatakan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan 2024 International Webinar On Mosque Community and School Cooperative yang disertai oleh peserta dari Malaysia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Nigeria.

Menurut beliau usaha ini penting bagi memperluaskan lagi capaian pasaran produk dan perkhidmatan koperasi yang dapat ditawarkan ke negara luar khususnya melibatkan produk Halal.

“Koperasi merupakan platform pembangunan ekonomi dan sosial yang dapat memperkukuh pertumbuhan inklusif dan memberi anjakan positif terhadap komuniti melalui usaha bantu diri, kebertanggungjawaban secara bersama dan pentadbiran yang demokratik.

“Kolaborasi antara koperasi di peringkat antarabangsa juga penting bagi meningkatkan keberdayaan koperasi melalui perkongsian idea, strategi, inovasi dan teknologi dari negara masing–masing,” katanya.

Sesi webinar pada kali ini mendapat perkongsian dari dua orang panel iaitu Engr. Rahmatol Mangampo  Mamukid, Pengarah IV, Biro Hal Ehwal Ekonomi Muslim, Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muslim Filipina (NCMF) dan Dr. Faridah Binti Yaakob, Timbalan Pengarah, Sekolah Noorul Iman, Kemboja berkenaan model koperasi yang dibawa oleh ANGKASA dalam komuniti Muslim di Filipina dan komuniti sekolah di Kemboja.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail yang juga merupakan Ahli Lembaga Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).

Rahmatol Mangampo Mamukid berkata, kerjasama antara Malaysia dan Filipina diharap dapat menyerlahkan peranan koperasi dalam membantu golongan minoriti muslim khususnya bagi meningkatkan pasaran produk Halal di negara tersebut.

Manakala Dr. Faridah pula menjelaskan budaya keusahawanan koperasi yang diterapkan di Norol Iman School berjaya merealisasikan penubuhan Norol Iman School Coop Mart yang telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada 16 Januari 2024.

“Melalui pembangunan kedua – dua model koperasi ini di luar negara, kita dapat mengkaji dari segi keperluan dan permintaan mereka sekaligus mengembangkan lagi output produk yang boleh dikeluarkan oleh koperasi di negara ini.

“Kejayaan dalam aktiviti eksport dapat meningkatkan reputasi koperasi di peringkat antarabangsa, meningkatkan kepercayaan pelanggan dan pembekal luar negara. Ini boleh membuka pintu kepada peluang jangka panjang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak luar negara dalam bidang perdagangan dan pembangunan ekonomi.” Jelas Presiden ANGKASA. – SM

(Visited 22 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button