Mahkamah

Permohonan bekas KM Melaka tidak boleh diadili oleh mahkamah – Jabatan Peguam Negara

Jabatan Peguam Negara membantah permohonan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi menghentikan Pilihan Raya Negeri yang dijadualkan pada 20 Nov ini kerana tindakan perundangan itu tidak boleh didengar dan diadili oleh mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan S.Narkunavathy memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pemohon (Adly) tidak mempunyai kes yang boleh dipertahan bagi membolehkan meritnya didengar pada pendengaran substantif semakan kehakiman.

“Berpandukan diktum Mahkamah Rayuan dalam kes Tan Sri Musa Aman, adalah jelas bahawa perkara berkaitan pengisytiharan serta pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh didengar dan diadili oleh mahkamah selain terlindung daripada penelitian kehakiman.

“Oleh itu, permohonan ini tidak mempunyai merit,” katanya ketika memohon mahkamah menolak permohonan itu.

Adly, 50, telah menamakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sebagai responden.

Narkunavathy juga berhujah intipati cabaran pemohon dalam prosiding semakan kehakiman itu ialah pembubaran DUN atas alasan bahawa responden pertama iaitu Sulaiman tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Adly, pula berhujah Sulaiman tidak mempunyai asas dari segi perlembagaan untuk menasihati responden keempat iaitu Mohd Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

Beliau berkata adalah jelas bahawa Sulaiman telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli dewan itu ketika beliau didakwa menasihati Mohd Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

“Oleh itu, pemohon berhujah bahawa melainkan responden keempat menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Negeri Melaka, iaitu menolak permintaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, pengisytiharan untuk pembubaran itu di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka bukanlah dilakukan mengikut budi bicara beliau,” katanya.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan 10 Nov ini untuk memutuskan permohonan Adly.

Adly memohon deklarasi bahawa tindakan Sulaiman menasihati Mohd Ali pada 4 Okt lepas untuk membubarkan DUN Melaka mengikut Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka selepas tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan itu adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa pengisytiharan pembubaran DUN Melaka adalah tidak munasabah dan adalah tidak rasional bagi responden pertama menasihati responden keempat untuk membubarkan dewan itu dalam keadaan pandemik atau endemik COVID-19 sedang melanda negara.

Adly turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan writ pilihan raya SPR bertarikh 18 Okt lepas, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyebut responden pertama telah kehilangan sokongan majoriti ahli dewan itu pada 3 dan 4 Okt lepas, oleh yang demikian beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menasihati responden keempat membubarkan DUN Melaka.- BERNAMA

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button