Ekonomi

IKEA Malaysia lancar kenderaan elektrik (EV) pertamanya untuk penghantaran jarak terakhir

IKEA Malaysia kini sedang mengubah cara produknya dihantar ke rumah pelanggan. Hari ini, syarikat tersebut memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya untuk penghantaran jarak terakhir (last mile delivery).

EV baharu itu akan membuat penghantaran ke Daerah Petaling untuk IKEA Damansara bermula Mei 2023.

Langkah ini selari dengan komitmen global IKEA untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dalam semua peringkat rantaian nilainya termasuk penghantaran jarak terakhir.

Kini, permintaan terhadap beli-belah dalam talian dan penghantaran yang pantas terus meningkat, dan dengan pengangkutan jalan raya yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pelepasan pengangkutan di Malaysia[1], IKEA Malaysia menyasarkan untuk mengembangkan lagi barisan EV-nya pada tahun depan, dan beralih kepada penyelesaian pengangkutan yang lebih lestari.

“Di IKEA Malaysia, kami mahu menjadikan penyelesaian kelengkapan rumah kami lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia, dengan cara yang lebih lestari.

“Jadi, kami sangat teruja untuk memperkenalkan EV pertama kami untuk penghantaran jarak terakhir, sebagai langkah pertama ke arah mencapai cita-cita kami untuk menggunakan 100 peratus EV atau penyelesaian pengangkutan lestari yang lain untuk penghantaran ke rumah menjelang tahun 2030.

“Matlamat kami di peringkat global adalah untuk mengurangkan lebih banyak pelepasan gas rumah hijau berbanding pelepasan yang dibebaskan oleh rantaian nilai IKEA, di samping mengembangkan perniagaan IKEA. Penyahkarbonan penghantaran produk kami kepada pelanggan akan menyumbang kepada komitmen positif iklim global kami,” kongsi Malcolm Pruys, Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia.

“Di IKEA, kami akan terus mencari cara bekerja yang lebih lestari. Bagaimanapun, kami tidak boleh mencapai matlamat ini dengan sendiri. Justeru, kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang sehaluan dalam perjalanan ini dan sama-sama menyumbang kepada usaha Malaysia untuk beralih ke ekonomi yang rendah karbon dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” tambah Malcolm.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan untuk mengambil bahagian dalam peralihan kepada EV selari dengan cita-citanya untuk membolehkan seramai mungkin orang untuk hidup dengan lebih lestari, IKEA Malaysia menyasarkan untuk menawarkan stesen pengecasan EV di setiap gedung IKEA menjelang tahun 2025.

Inisiatif-inisiatif kelestarian lain yang diterajui oleh IKEA Malaysia termasuk memperkenalkan menu berasaskan tumbuhan untuk menginspirasikan kehidupan yang sihat dan lestari, melancarkan program pengurangan sisa makanan yang dipertingkatkan, dan menjadi peruncit pertama di Malaysia yang menamatkan penggunaan beg plastik.

IKEA Malaysia kekal komited untuk memberi impak positif kepada manusia, masyarakat dan bumi ini, dan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi, rakan sekerja dan pelanggan untuk mengubah cita-cita kepada tindakan yang bermakna. – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button