Nasional

Perak benarkan ibadah korban, wanita solat Aidiladha di masjid

Ibadah korban mulai 31 Julai-3 Ogos

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan solat sunat Aidiladha berjemaah di masjid  dan  pelaksanaan ibadah korban  sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, pemberian perkenan itu setelah mendapat nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, solat sunat Aidiladha yang dijangka pada 31 Julai ini boleh dilaksana secara berjemaah di seluruh masjid dan surau.

Pelaksanaan itu dengan bilangan jemaah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard  (SOP) iaitu jarak satu meter antara ahli jemaah.

Selain itu, beliau berkata, kaum wanita juga dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah di ruang khas yang disediakan dan kehadiran hendaklah bersama mahram.

 

“Memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Jumaat dan selaras dengan ketetapan ulil amri (pemerintah), adalah ditegaskan bahawa solat Jumaat wajib dilaksanakan dengan bilangan jemaah berasaskan had kapasiti ruang solat yang mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrul Azam berkata, kehadiran solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dengan identiti  jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Mengenai ibadah korban, beliau menjelaskan, hanya anjuran jawatankuasa masjid dan surau dibenarkan mulai 31 Julai sehingga 3 Ogos.

Kena ada permit sebelum boleh sembelih haiwan korban. | AskLegal.my

Ia terhad di halaman rumah ibadah itu dengan syarat perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya lagi, kehadiran semasa aktiviti ibadah korban pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.

“Dan identiti peserta serta petugas yang melaksanakan ibadah korban hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang penyembelihan dan pengagihan,” ujarnya.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), katanya, akan mengeluarkan satu garis panduan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan aktiviti ibadah korban kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri itu.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk,” katanya. – SM

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button