Nasional

Perlu teknologi baharu kesan pelaku jenayah siber – Annuar Musa

Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) sedang mencari teknologi terkini yang telah digunakan di beberapa negara bagi menangani peningkatan bilangan kes siber dilaporkan membabitkan organisasi
sektor awam, komersial dan individu di negara ini yang dilihat semakin serius.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat JKSN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob bagi mencari alternatif terbaru bagi menjejaki pelaku-pelaku jenayah siber.

Menurutnya, satu kaedah perlu dicari bagaimana satu pusat dapat berkongsi data merujuk kepada 20,000 kes jenayah siber yang telah dilaporkan tahun lalu dan dilihat semakin meningkat setiap tahun.

“Kerajaan terima banyak laporan orang ditipu scammer dan ramai orang hilang duit di dalam akaun seolah-olah nampak macam kita kalah kepada penjenayah-penjenayah siber.

“Tetapi saya faham perkara ini tidak mudah. Pelaku dapat mengatasi sistem yang ada dan kadang-kadang masalah teknologi menyulitkan kita untuk mengambil tindakan kerana undang-undang sedia ada tidak dapat mengatasi masalah penipuan siber cara baru,” ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Watikah Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna di sebuah hotel di
Ayer Keroh, malam tadi.

Seramai 30 PEDi baharu daripada enam kawasan Parlimen di negeri ini menerima watikah tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut Annuar berkata, Kementerian Kewangan dan jawatankuasa di peringkat nasional telah bersetuju supaya kerajaan memberikan keutamaan termasuk dari segi bajet untuk mendapatkan teknologi yang sesuai bagi mengatasi masalah ini.

Di samping itu katanya, K-KOMM juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara jiran terutama dalam kalangan negara ASEAN untuk berkongsi data serta membincangkan mengenai jenayah siber.

“Saya ada berkomunikasi dengan rakan sejawat dari ASEAN terutama yang bersempadan dengan kita kerana jenayah siber tidak boleh ditangani dengan cara biasa sebaliknya kita perlu ada langkah-langkah baharu perlu diambil,” ujarnya.

Di samping itu katanya, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk mengkaji perakuan-perakuan baru yang perlu dilakukan kepada kerangka undang-undang sedia ada untuk disemak semula.

Selain itu jelasnya, kadar denda sedia ada juga perlu dikaji kerana ia tidak lagi setimpal dengan banyak kesalahan yang berlaku dan menyediakan satu pusat khas bagi orang yang menjadi mangsa cepat
untuk membuat rujukan.

Pasukan khas tersebut katanya dianggotai semua pengerusi agensi berkaitan bersama K-KOMM terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MYNIC, Security Malaysia dan Jabatan Perlindungan Peribadi. – SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button