Nasional

100 tahun sinema Malaysia: Martabat, sejarah dan warisan perfileman negara

MENTERI Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang telah hadir bagi menyaksikan pameran serta menyantuni dan beramah mesra dengan karyawan dan penggiat seni tanah air negara sempena Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia ini diadakan bertujuan mengangkat martabat dan meraikan sejarah perfileman negara yang telah pun bermula sejak awal tahun 1930an.

Pameran ini akan berlangsung selama dua bulan bermula pada 22 Mei 2023 yang lalu.  ‘100 Tahun Sinema Malaysia’ merupakan tema yang diangkat bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Industri Perfileman Negara pada tahun ini.

Pameran ini bukan sahaja menyentuh tentang aspek sejarah perkembangan perfileman negara, tetapi turut memaparkan penggunaan teknologi perfileman, tokoh-tokoh atau individu yang terlibat dalam perfileman
negara sama ada pengarah, penerbit, seniman atau seniwati terdiri daripada pelbagai kaum, filem-filem box office termasuklah filem yang dianggap ‘evergreen’ (malar segar) atau diterima sepanjang zaman.

Terdapat enam (6) segmen utama yang diketengahkan melalui pameran ini iaitu:-
i. Sejarah Perfileman Dunia;
ii. Era Keemasan Sinema Malaysia 1952 – 1968;
iii. Perkembangan Filem Cereka Swasta di Luar Studio;
iv. Kebangkitan Filem Tempatan Tahun 1980an;
v. Penubuhan Syarikat Filem Swasta dan Agensi Perfileman Negara;
dan
vi. Kemunculan Generasi Pembikin Filem Baharu dan Masa Depan Sinema Negara.

Sebanyak 109 koleksi berkaitan sinema di Malaysia turut dipamerkan antaranya adalah kerusi pengarahan Tan Sri P. Ramlee dan trofi ‘Most Versatile’ yang dimenangi oleh beliau dalam filem Ibu Mertuaku, alat-alat perfileman yang pernah digunakan pada era 1940an, costume, poster, koleksi peribadi.

Datuk Aziz Satar, Datuk Jamil Sulong dan Datuk Hajah Rosnani Jamil serta pelbagai lagi koleksi menarik untuk tontonan masyarakat.

Pameran ini adalah selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang dibawa oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui penyaluran maklumat yang sangat berguna kepada rakyat Malaysia untuk memahami dan meningkatkan
kesedaran serta apresiasi terhadap peranan industri perfileman di Malaysia.

Ia juga mengajak masyarakat untuk menghargai seni budaya pelbagai bangsa, kaum dan agama di negara ini dan menjadikan filem sebagai salah satu platform yang boleh memupuk serta menyemarakkan semangat
perpaduan dan cinta kepada negara.

Program ini adalah dengan kerjasama strategik Arkib Negara Malaysia, Perpadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), SIAR, World Cultural Organization serta pemilik-pemilik koleksi individu seperti Rosnani, Sandakiah Aziz, Akma Suriati  Awang dan  Dr. Anwardi Jamil bagi memeriahkan Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia yang sedang berlangsung sehingga 23 Julai 2023 mulai pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang. – SM

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button