Sukan

Perlis tuan rumah kejohanan woodball dunia tahun hadapan

Negeri Perlis telah diumumkan oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF) untuk kekal sebagai tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) ke-9 yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Kejohanan tersebut pada asalnya diadakan pada tahun lalu tetapi ditunda ke bulan Julai tahun ini dan terpaksa sekali lagi ditangguhkan ke tahun 2022 disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 yang masih belum stabil sepenuhnya di seluruh dunia.

Demikian dimaklumkan oleh Pemangku Presiden IWbF, Sean Chi-Hsiang Weng melalui persembahan warkah kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) menurut hebahan media yang disiarkan oleh PWNPs pada hari ini.

Antara intipati surat berkenaan turut memaklumkan bahawa IWbF yakin dengan penganjuran kejohanan berprestij ini di Perlis kelak akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya melalui usaha, sokongan dan komitmen daripada semua pihak terutamanya Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).

IWbF juga amat berpuas hati dengan Laporan Kemajuan Kejohanan tersebut yang dibentangkan semasa Perhimpunan Agung IWbF 2021 yang diadakan secara atas talian baru-baru ini dan IWbF percaya kejohanan ini bakal menjadi sebuah medan pertemuan yang hebat bagi semua pemain woodball dari seluruh dunia nanti.

Sementara itu, Presiden PWNPs, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin juga mempersembah maklumkan kepada baginda bahawa PWNPs berharap agar semangat berpasukan yang telah dibina bersama terutama antara pemain woodball negeri ini dapat dikekalkan, walaupun semua pihak sedang menghadapi ujian pandemik Covid-19 hingga ke hari ini.

Tambah beliau lagi, penangguhan kejohanan ini sama sekali tidak akan melunturkan semangat PWNPs untuk membuat persiapan rapi dan melaksanakan yang terbaik sebagai penganjur kejohanan ini, di samping juga mempersiapkan pemain-pemain woodball negeri Perlis yang bermutu untuk mewakili negara kita, serta menyeru agar momentum dan semangat sukan woodball terus semarak di negeri ini.

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button