Agama

Perlis tetapkan SOP ibadah korban

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar semua masjid serta jabatan atau agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan  dibenarkan untuk mengelola ibadah korban tertakluk kepada prosedur operasi standard keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menitahkan bahawa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memperkenankan SOP tersebut.

Pelaksanaan ibadah korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan, swasta, masjid dan
premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan JAIPs.

Waktu korb an yang dibenarkan bermula selepas solat sunat hari raya Aidiladha sehingga sebelum masuk waktu Maghrib pada 13 Zulhijjah (31 Julai hingga 3 Ogos 2020).

Sesi-sesi berbeza hendaklah ditetapkan untuk mengekalkan pematuhan SOP, serta waktu-waktu solat fardu hendaklah dihormati sepenuhnya.

Penganjur korban hendaklah menanda, menyukat dan memasang tanda penjarakan sosial dengan mengambil kira ketetapan jarak antara haiwan korban dengan haiwan korban yang lain di lokasi sembelihan dan melapah adalah sekurang – kurangnya 5 meter.

Penjarakan sosial antara petugas di lokasi memotong, menimbang, membungkus dan mengagih adalah sekurang-kurangnya 1 meter.

Daging korban boleh dimasak dan dijadikan jamuan. Walau bagaimanapun proses menyediakan jamuan hendaklah mematuhi jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari lokasi penyembelihan, serta jamuan hanya dikhususkan untuk peserta korban dan petugas tetap korban sahaja.

“Adapun jamuan yang selain daripada ini, hendaklah disediakan di luar premis yang menyelenggarakan aktiviti ibadah korban. Bagi kenduri daging korban hendaklah disediakan dalam bentuk bungkusan untuk dibawa pulang, atau diadakan di rumah-rumah persendirian dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Semua petugas di lokasi sembelihan dan pemprosesan daging korban diwajibkan untuk memakai pelitup muka, sarung tangan dan apron bergred kesihatan. Digalakkan untuk penganjur korban menyediakan alat perlindungan yang dinyatakan ini dengan warna dan kualiti yang seragam.

“Melihat kepada suasana yang berlaku di sebahagian tempat yang kembali berhadapan gelombang penularan Covid-19, adalah dinasihatkan kepada semua pihak untuk terus konsisten dalam menjaga SOP keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan.

“Dalam kemeriahan menyambut Aidiladha yang bakal menjelma, seluruh Umat Islam adalah dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan kemaslahatan umum mengatasi kepentingan peribadi. Semoga segala amalan dan pengorbanan kita semua diterima oleh Allah SWT,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Keadaan 3S iaitu bersesak-sesak, ruang yang sempit, tertutup , rapat dan sembang, berbual-bual dalam jarak dekat hendaklah dielakkan sama sekali.-SM

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button