fbpx


Berita

Perlis tawar peluang pelaburan pelbagai bidang

Pudong, Shanghai, China – Perlis menawarkan peluang-peluang pelaburan menarik dalam sektor perikanan, pendidikan dan latihan, pertanian moden, teknologi hijau, logistik dan pelancongan untuk dipelopori oleh para pelabur baik dari dalam mahupun luar negara.

Di bawah sektor teknologi hijau beberapa industri seperti tenaga boleh diperbaharui, halal, automotif, pembuatan serta elektrikal dan elektronik juga mempunyai potensi yang amat besar yang boleh menghasilkan situasi menang-menang kepada negeri, para pelabur dan juga rakyat jelata.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan ‘Promosi Masakan Perlis’ yang diadakan di Secret Flavour Restaurant, Tingkat 5 – Lane 308 Crystal Plaza, Yao Ti Road, Pudong New Area, Shanghai, China pada jumaat malam.

Antara menu istimewa yang disajikan di majlis yang turut diadakan bersempena pelancaran promosi ‘Tahun Melawat Malaysia 2020 Peringkat Shanghai, China’ disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis yang diberi nama ‘Malaysia Cultural Day’ itu ialah kurma daging Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pemangku Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Shanghai, Mohd Ashrul Ashraf Hj Mohd Noor Puasa dan Pengarah Urusan Singpoli Asia, Datuk Nellsen Young.


Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Hew Tse Hou dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Datuk Rashidi Hasbullah.

Promosi makanan selama dua minggu tersebut dianjurkan restoran itu dengan kerjasama Pejabat Tourism Malaysia Shanghai, ASEAN People’s Association Los Angeles, Singpoli Asia, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Sebelum ini baginda turut pernah melancarkan kempen promosi masakan Perlis di beberapa buah bandaraya lain di China seperti Beijing, Xi’an dan Guangzhou.

Bersempena majlis berkenaan juga Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan restoran yang dimiliki oleh dua rakan kongsi iaitu Sharizan Mohd Rafi Kannan dan Alice Zhang itu.

Sharizan atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Chef Shah‘ berasal dari Kuala Selangor sudah menetap di China selama lebih 10 tahun dan membuka sebuah restoran halal sejak tiga tahun lalu di Shanghai dan baru sahaja berpindah ke lokasi baru ini tiga bulan yang lalu.

Di majlis tersebut beliau yang pernah dua kali memenangi pertandingan teh tarik antarabangsa dan pingat emas ‘Gourmet Malaysia Master Chef untuk makanan Asia Tenggara’ turut membuat persembahan teh tarik kepada hadirin.

Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional lagu ‘Ayam Didik’ dan ‘Joget Serampang Pantai’ yang dipersembahkan oleh kumpulan Unit Kebudayaan dan Rekreasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Show More

Related Articles

Back to top button