NegeriRencah Hidup

Perlis Skate Park tempat riadah pemain papan selaju

GOLONGAN muda mudi pasti teruja dengan kewujudan Perlis Skate Park yang dibina menjurus kepada tempat beriadah mereka yang bermain papan selaju.

Perlis Skate Park tidak dihadkan kepada pengunjung muda mudi sebaliknya ia bersifat inklusif yang mana orang dewasa juga boleh menggunakan lokasi ini.

Wan Puteri Fatin Dania Wan Malyzae dibantu abang sulungnya, Wan Mohamad Fariz Danish untuk belajar sukan papan selaju.

Dengan terbinanya Perlis Skate Park, siapa tahu, suatu hari ini, Perlis dapat melahirkan para pemain papan selaju bertaraf dunia seperti Sky Brown.

Kalau anda tidak mengenali siapakah Sky Brown, penulis berikan pencerahan sebagai sedikit pengenalan.

Sky Brown adalah pemain papan selaju termuda dunia yang hebat kerana pada usia 13 tahun, dia telah meraih pingat Perak di Sukan Olimpik Tokyo lalu.

Tidak salah jika remaja Perlis, bukan remaja purba, berimpian ingin menjadi sehebat Sky Brown kerana gadis kecil ini dikatakan mula jatuh cinta dengan sukan papan selaju pada usianya tiga tahun.

Sejak dibuka pada Disember tahun lalu, Perlis Skate Park yang terletak di Dataran Kechor (bersebelahan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar ini tidak pernah sunyi dengan peminat sukan ekstrem.

Sukan papan selaju termasuk dalam kategori sukan ekstrem, sama seperti basikal BMX dan “aggresive inline skate”.

PEMINAT sukan ekstream bergambar pada perasmian Peris Skate Park baru-baru ini.

Tinjauan SUARA MERDEKA di Perlis Skate Park mendapati, lebih 30 peminat sukan ekstrem ini  dan tentunya kebanyakannya  adalah pemain papan selaju, memenuhi taman ini pada setiap petang.

Bagi yang baharu hendak berjinak-jinak  dengan sukan papan selaju, mereka digalakkan memulakan latihan di peringkat asas sebelum beraksi di bahagian lebih mencabar di Perlis Skate Park ini.

Apa yang menarik perhatian, sukan ekstrem ini juga menjadi tumpuan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia 7 tahun ke atas.

TIGA beradik minat sukan papan selaju dari kiri Muhammad Sufi Shahizan, Muhammad Nur Iman, dan Muhammad Danish Darwisy.

Buktinya, kita dapat melihat kelibat tiga adik beradik berusia dari 8, 10 dan 14 tahun yang setiap hari, datang ke sini untuk bermain papan selaju tanpa merasa jemu.

Difahamkan, kanak-kanak tiga beradik ini datang ke Perlis Skate Park sejak dua bulan lalu dan menunjukkan petanda baik dalam usaha mengasah bakat kanak-kanak dalam sukan ini.

MUHAMMAD SUFI SHAHIZAN

“Muhammad Sufi Shahizan, 8, Muhammad Nur Iman, 10 dan Muhammad Danish Darwisy, 14 juga mempunyai idola masing-masing dalam sukan papan selaju ini,” kata ayah kepada kanak-kanak ini, Shahizan Desa, 52.

Beliau mengakui tidak menyangka minatnya dalam papan selaju sejak tahun 1989 kini diwarisi oleh tiga orang anaknya.

Beliau berkata, pada mulanya secara kebetulan, Perlis Skate Park ini  terletak bersebelahan tempat beliau bertugas.

Jadi, katanya, itu memudahkannya untuk mengawasi anak-anaknya bermain papan selaju selain beliau berpeluang untuk memberikan sendiri sedikit tunjuk ajar sebaik tamat waktu  bekerja.

Wan Puteri Fatin Dania Wan Malyzae.

Sementara itu, seorang lagi pemain papan selaju, Wan Puteri  Fatin Dania Wan Malyzae, 8, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Marris berkata, dia baharu sahaja beberapa hari mencuba sukan ekstrem ini.

Beliau berkata, minat timbul untuk mencuba sukan papan selaju ini selepas mendapat bimbingan dari kedua orang abangnya iaitu Wan  Mohamad Fariz Danish, 18 dan  Mohamad Faiz Danial, 16 yang juga pemain papan selaju.

Kata Wan Puteri  Fatin Dania, dia tidak takut untuk mencuba bermain papan selaju dan dia juga bersemangat untuk belajar teknik bermain papan selaju yang betul sehingga berjaya menjadi pemain papan selaju yang hebat.

Baru-baru ini diadakan Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Membina dan Menyiapkan Perlis Skate Park yang berharga RM180,000 dan lain-lain kerja berkaitan.

Pada majlis itu, Jurutera Awam Kanan Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Ir. Law Jia Haur mewakili Pengarah JKR hadir manakala Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis pula diwakili Pengarahnya, Anuar Abidin.

Perasmian disempurnakan oleh Exco Sukan Negeri, Hamizan Hassan. – SM

(Visited 795 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button