fbpx
Nasional

Perlis perlu ambil kesempatan limpahan pelancong di Langkawi

‘Pelancongan Agro’ seperti Ladang Harumanis Bukit Bintang dan Bukit Temiang serta Taman Rimba Herba Sungai Batu Pahat di samping ‘Pelancongan Sempadan’ yang merangkumi Arked Niaga dan Waremart Padang Besar boleh dijadikan sebagai destinasi penarik dan penyebab untuk para pelancong luar ke Pulau Langkawi untuk turut datang singgah dan melawat negeri Perlis yang terletak hanya satu jam perjalanan dengan menaiki bot dari pulau lagenda berkenaan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengambil bahagian di dalam program kayuhan berbasikal ‘Sunset Ride 2020 @ Langkawi’ anjuran Langkawi Tourism Academy – Kolej Komuniti Langkawi baru-baru ini.

Turut serta dalam program kayuhan sejauh 18km itu ialah anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Zepri Saad dan Mohammad Azwan Ja’afar dari Kolej Komuniti Langkawi.


Program tersebut yang dilepaskan oleh Pengarah Kolej Komuniti Langkawi, Haslinda Abd. Hamid di pintu masuk Kolej berkenaan dan berakhir di lokasi yang sama telah disertai oleh seramai 60 orang peserta.

Para peserta turut tidak melepaskan peluang singgah menikmati pemandangan matahari terbenam yang sungguh indah di Jeti Nelayan, Pantai Chenang sebelum menamatkan kayuhan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button