BeritaPendidikan

Perlis pastikan tiada keciciran dari sekolah

“Masa depan negara adalah bergantung kepada bagaimana kita mempersiapkan kanak-kanak hari ini untuk menjadi belia dan seterusnya sebaga pemimpin serta tenaga kerja pada masa akan datang. Justeru mereka perlu diberikan peluang pendidikan yang lengkap dan sempurna mungkin”.

Dalam hubungan itu, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kanak-kanak di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan antaranya melalui kempen ‘Sifar Cicir Sekolah’ yang mensasarkan para pelajar sekurang-kurangnya menamatkan persekolahan wajib dengan mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara program lain yang turut dilaksanakan namun terpaksa ditangguhkan sejak penularan Covid-19 adalah ‘Bengkel Jati Diri Cemerlang’, ‘Program Titian Kasih Mega’ di semua sekolah menengah, ‘Program Bangun Jiwa’ selain secara berterusan menyampaikan mesej ke arah mengekalkan momentum untuk memastikan kanak-kanak menamatkan persekolahan melalui program bersasar seperti ‘Program Hijrah Minda’ serta ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’

Kempen ‘Sifar Cicir Sekolah’ sebagai contoh telah berjaya membawa balik lebih 300 pelajar yang keciciran di negeri ini untuk kembali semula ke sekolah bagi tempoh 2018 hingga awal 2020 sebelum Covid-19 melanda negara dan dunia.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena kempen ‘World Day Against Child Labour’ atau ‘Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia’ yang diperingati pada 12 Jun setiap tahun semalam.


Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda turut menzahirkam ucapan tahniah kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 negeri Perlis yang telah berjaya meningkat peratus lulusnya daripada 83.39% pada tahun 2019 kepada 88.38% bagi tahun 2020 khususnya kepada 34 calon cemerlang di kalangan mereka yang telah memperolehi ‘Straight A’s’. Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Pendidikan, Pengetua dan guru-guru, PIBG, ibubapa dan ahli keluarga serta semua yang terlibat secara langsung maupun tidak langsung dengan harapan semoga dapat sama-sama dilaksanakan usaha lebih hebat sebagai persediaan untuk calon-calon SPM 2021 yang akan datang pula kelak.

Untuk rekod, ‘Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia’ adalah bagi meningkatkan kesedaran dan gerakan aktivis demi mencegah eksploitasi buruh kanak-kanak. Kehadiran buruh kanak-kanak dapat dilihat dalam pelbagai sektor terutama sekali dalam bidang pertanian. Difahamkan terdapat seramai 152 juta orang kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun terlibat sebagai buruh kanak-kanak dan 73 juta daripadanya dikesan melakukan pekerjaan yang berisiko tinggi.

Gambar arkib

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button