Politik

Perwakilan sifatkan pemilihan parti selepas PRU-15 adalah keputusan tepat

KUALA LUMPUR 19 Mac – Keputusan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 agar pemilihan pucuk
pimpinan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan
disambut baik oleh semua perwakilan.

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hassan Rahman berkata, keputusan itu adalah tepat demi memastikan UMNO
terus kukuh demi menghadapi PRU-15 nanti.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan pemilihan parti diadakan dahulu sebelum disusuli PRU telah memecah-
belahkan parti tersebut.

Beliau berkata, pemilihan parti selepas PRU adalah jalan penyelesaian yang terbaik buat parti demi menjaga
keharmonian parti.

“Kita tidak mahu parti jadi rosak sebelum kita masuk menghadapi PRU-15. Sudah terbukti pemilihan parti
diadakan terlebih dahulu menyebabkan parti berpecah hingga menjejaskan peluang menghadapi PRU.

“Ketika ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) diterima rakyat berdasarkan kemenangan dalam tujuh Pilihan
Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor,” ujarnya.

Beliau diminta mengulas pengulunggan perbahasan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung
UMNO 2021 berakhir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Bagi Ketua Penerangan UMNO negeri Perak, Muhammad Najmi Awang pula berkata, sejarah telah membuktikan pada
pemilihan parti pada 2013 diadakan sebelum PRU menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti.

Menurutnya, keputusan untuk mengadakan pemilihan parti selepas PRU adalah keputusan yang tepat dan wajar.

“UMNO dan BN ketika ini berada dalam keadaan baik hasil kemenangan dalam PRN di Melaka dan Johor. Kita
tidak mahu perpecahan berlaku dalam UMNO.

“Setiap kali pemilihan pastinya ada berlaku rasa tidak baik jika itu berlaku sebelum PRU susahlah kita nak
menang PRU tambah pula PRU-15 sangat penting untuk BN menang kembali,” ujarnya.

Sementara itu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Lokman Md. Don pula berkata, beliau menyambut baik
keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2021 untuk menyokong usul-usul yang dibawa oleh para perwakilan untuk
pemilihan parti diadakan selepas PRU-15.

“Para perwakilan membawa suara akar umbi dan walau suka atau tidak kita sebagai pemimpin serta ahli parti
perlu akur dengan keputusan yang dibuat,” ujarnya.

(Visited 366 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button