Nasional

Tiada komplot tangkap Sanusi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dirancang sejak enam bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan yang dilakukan terhadap pemimpin berkenaan yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) adalah berdasarkan kronologi siasatan yang dilakukan pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan dan terpulang kepada tafsiran seseorang individu itu.

“Tengok semula kronologi siasatan kes beliau (Sanusi). Beliau keluarkan kenyataan pada 11 Julai, kemudian laporan polis diterima 12 Julai.

“Susulan daripada itu, ada lagi laporan dibuat pada 14 Julai oleh Majlis Diraja Selangor dan disebabkan itu, kita buat tangkapan pada 18 Julai untuk pertuduhan di mahkamah.

“Jadi, tidak timbul isu pihak polis jalankan siasatan enam bulan sebelum itu dan ada konspirasi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ayob Khan menegaskan, amaran sudah berulang kali diberikan oleh pihak polis supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh agama, raja dan kaum (3R).

Katanya, penahanan yang dilakukan terhadap Sanusi adalah susulan daripada kenyataan yang beliau lakukan iaitu menghina Institusi Diraja.

“Sempena bulan kemerdekaan tidak lama lagi, saya menyeru rakyat khususnya orang politik supaya melihat semula Rukun Negara ini.

“Jelas dalam Rukun Negara menyatakan kepercayaan kepada tuhan dan kesetiaan kepada raja dan negara.

“Kalau ada lagi mana mana-mana individu yang masih lagi cenderung untuk menghina Institusi Diraja, sudah pasti tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Menurut beliau lagi, apabila tindakan tegas diambil oleh polis terhadap perbuatan itu, jangan buat spekulasi.

“Hati-hati, kita akan ambil tindakan tidak mengira latar belakang,” tegas beliau.

Terdahulu media melaporkan Muhammad Sanusi mendedahkan terdapat rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya yang dirancang sejak enam bulan lalu.

Sanusi dilaporkan berkata, ini berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada rakan yang memberi amaran bahawa tindakan akan diambil susulan kritikan terbuka kepada pihak tertentu. – SUMBER HARIAN METRO – SM

BACA Sanusi simpan pistol 24 jam dalam kereta

BACA Sanusi ditahan jam 3 pagi kerana enggan ke balai – Saifuddin

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button