Politik

Charles mahu menteri letak jawatan jika gagal dakwa kilang

AHLI Parlimen Klang yang juga anggota DAP Charles Santiago mahu Menteri Alam Sekitar dan Air mengambil tindakan keras terhadap pemilik kilang yang mencemarkan air sungai hingga menjejaskan bekalan air kepada penduduk Lembah Kelang dalam tempoh sebulan.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkata, sekiranya gagal Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

“Oleh kerana Jabatan Kimia memerlukan masa antara dua hingga tiga minggu untuk menentukan sama ada bahan buangan ada radioaktif atau tidak, kerajaan mesti membuat dakwaan terhadap syarikat itu dalam masa satu bulan.

“Ini untuk menunjukkan bahawa kerajaa mengambil serius perkara ini atau Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air mesti meletakkan jawatan,” kata Charles.

Menurutnya, denda sebanyak RM60,000 terhadap syarikat terbabit iaitu Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd atas kesalahan sama sebelum ini tidak memberi apa-apa kesan terhadap syarikat itu.

Justeru menurutnya, sudah sampai masanya hukuman yang lebih keras dikenakan ke atas pemilik syarikat berkenaan..

Charles berkata, menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, syarikat itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga sepuluh tahun, denda tidak melebihi RM500,000 atau sebatan atau ketiga-tiganya.

Selain itu, Chales juga mahu lesen operasi syarikat mesti dibatalkan dan tidakdibenarkan beroperasi selama lima tahun akan datang.

“Satu juta rakyat Malaysia terjejas bekalan air. Ramai yang terpaksa mengeluarkan wang tunai untuk membeli air untuk minum dan masak makanan untuk keluarga mereka.

“Mustahil untuk mereka masak dengan ketiadaan bekalan air. Perniagaan juga menghadapi kerugian,” kata Charles.

Katanya, Kerajaan perlu bertindak sekarang untuk menghantar mesej yang kuat bagi melihat pengurusan sisa pepejal dengan cara yang lebih cekap.

Jika tiada tindakan tegas diambil, syarikat tidak akan berhenti mencemarkan sungai dan sumber air.-SM

 

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button