NasionalNegeri

Perlis catat rekod baharu 18 pelajar STPM dapat PNGK 4.00

BUAT julung kali Perlis berjaya mencatatkan rekod baharu dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 apabila 18 calonnya telah mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Berbanding dengan tahun 2020 lima calon sahaja mendapat PNGK 4.00.

Kejayaan ini disifatkan sebagai sangat membanggakan memandangkan ia belum pernah berlaku sejak sepuluh tahun yang lalu.

Mirza Hasya (kiri) bersama ibunya, Haziza dan adik bongsu semasa diumumkan pelajar terbaik STPM 2021 di SMK Agama (P) Kangar hari ini.

Perkara ini telah diumumkan oleh Pengarah Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama (Perempuan) Kangar di sini hari ini.

Naharudeen berkata, calon terbanyak mendapat PNGK 4.00 iaitu tujuh pelajar dari SMK Tengku Sulaiman, Beseri diikuti lima calon SMK Agama (P) Kangar; tiga pelajar SMK Syed Alwi manakala masing-masing seorang calon dari SMK Syed Sirajuddin, Arau; SMK Putra, Kangar dan SMK Perlis, Kangar.

Beliau berkata, sebanyak enam buah sekolah di negeri juga mencatatkan keputusan lulus penuh seratus peratus selama dua tahun berturut-turut sejak 2021.

Tambahnya, pada tahun 2021 jumlah calon sebanyak 378 manakala tahun 2020 pula 456 calon.

“Perlis juga mencatatkan keputusan STPM 2021 terbaik dan mengekalkan kecemerlangan Gred PNGK negeri yang terus meningkat dari 2.84 kepada 3.01 (naik 0.17),” katanya.

Selain itu katanya, Perlis juga kekal mengatasi PNGK Peringkat Kebangsaan sebanyak 0.22.

Naharudeen menyampaikan penghargaan kepada salah seorang calon terbaik STPM di SMK Agama (P) Kangar hari ini.

Sementara itu salah seorang calon terbaik STPM yang ditemui Suara Merdeka, Mirza Hasya Mohammad Zambri, 19, tidak menjangka akan mendapat keputusan PNGK 4.00.

“Kejayaan ini adalah bukan usaha saya seorang tetapi juga galakan dan doa daripada emak, ayah, abang, adik serta guru-guru,” kata pelajar SMK Tengku Sulaiman.

Anak kepada seorang pemandu di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini banyak menumpukan kepada belajar sendirian di rumah selain terlibat dalam perbincangan secara kumpulan dengan rakan sekelas.

Ibunya Haziza Hassan, 44, mengaku anak ketiga dari tujuh adik-beradik ini sangat rajin belajar.

“Beliau juga anak yang ringan tulang kerana sering membantu saya melakukan kerja rumah,” kata isteri kepada Mohamad Zambri Hassan, 52 yang tinggal di Kampung Paya, Beseri, Perlis. – SM

(Visited 573 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button