BeritaNasional

Agong, Permaisuri sempurnakan Pemakaian Pangkat dua anakanda

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pemakaian Pangkat kepada dua anakanda baginda.

Majlis Pemakaian Pangkat itu disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka berdua kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang dipakaikan pangkat Leftenan Muda dan Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang dipakaikan Leftenan Kolonel di Istana Negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah kerabat-kerabat Diraja Pahang serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Susulan pemakaian pangkat itu, Tengku Hassanal akan ditugaskan di 4 Briged Mekanize, Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pahang, manakala Tengku Amir pula di Batalion Pertama Rejimen 505 (Askar Wataniah), Pahang.

Tengku Hassanal telah menamatkan pengajian ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada Disember 2019, selepas menjalani latihan di akademi itu selama 44 minggu.

Tengku Hassanal merupakan adalah antara 242 pegawai kadet yang ditauliahkan di perbarisan Sovereign´s Parade di Sandhurst, yang dirasmikan oleh HRH Sophie, Countess of Wessex, sebagai mewakili Ratu Elizabeth ll pada 13 Dis 2019.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berangkat ke majlis perbarisan pentauliahan Tengku Hassanal itu.

Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst merupakan pusat latihan tentera tersohor dunia. Sejak berdekad lalu, sebilangan anak-anak raja Melayu telah menjalani latihan dan bimbingan di akademi berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Leftenan Kolonel kepada Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini. Susulan pemakaian pangkat itu, Tengku Amir akan ditugaskan di Batalion Pertama Rejimen 505 (Askar Wataniah), Pahang. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Al-Sultan Abdullah juga pernah menjalani latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst dari 1978 sehingga 1979 dan ditauliahkan oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1980.

Antara lain yang menjalani latihan ketenteraan di akademi itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail , Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

— BERNAMA

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button