Agama

Perlis benteng Ahli Sunnah wal Jamaah

KANGAR: Negeri Perlis merupakan benteng Ahli Sunnah wal Jamaah. Ahli Sunnah dalam ertikata pegangan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah, bukan rekaan, apatahlagi tahyul dan khurafat yang diada-adakan oleh segelintir manusia, yang mempergunakan nama agama.

Pelbagai istilah disalahgunakan seperti ‘ambil berkat’, ‘keluarga Nabi’, mimpi melihat Rasulullah S.A.W, keramat, wali, barangan peninggalan Nabi S.A.W dan pelbagai lagi. Puncanya adalah kerana sesetengah pihak tidak menjadikan pegangan dan amalan Nabi S.A.W serta para sahabat baginda sebagai penanda aras dan rujukan dalam beragama. Maka, di sinilah pentingnya sunnah dan pentingnya ‘jamaah’ iaitu jamaah para sahabat Nabi S.A.W, para ulama salaf dan para ulama yang mengikuti jalan mereka.

Semua diajak untuk sama-sama memperkukuhkan pegangan di Negeri Perlis ini. Berikanlah sokongan dan dokongan kepada majlis dan program ilmu, fatwa dan pendirian ilmu, aktiviti-aktiviti manfaat yang dianjurkan. Sama-samalah kita bantu membantu dalam menyampai dan menghidupkan Islam yang diwarisi daripada Nabi Muhammad S.A.W. Makmurkanlah negeri ini dengan memajukan kebaikan yang ada di dalamnya, agar banyak pihak mendapat manfaat.

Demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-10’ Tahun 2025 di perkarangan Masjid Alwi Kangar.

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tema program Perkampungan Sunnah kali ini ialah “Islam Mengangkat Kebijaksanaan, Meruntuh Kedangkalan”. Tujuan tema ini adalah untuk memartabatkan Islam yang sebenar yang dibawa oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W. Islam yang tulen membawa kehidupan penganutnya kepada kebijaksanaan dan hikmat. Apa sahaja yang membawa kepada hikmah dan kebijaksaan, maka itulah ajaran Islam. Sementara apa sahaja yang membawa kepada kedangkalan akal dan tersasar dari fakta ilmu, itu bukan ajaran Islam, sekalipun pengamalnya memakai pakaian agama, atau menggunakan istilah-istilah agama.

Untuk rekod, Program perkampungan sunnah adalah salah satu program ilmu tahunan di Perlis yang akan dibanjiri oleh para peserta dari dalam mahupun luar Perlis. Malah program ini turut disertai oleh para pengunjung yang datangnya daripada negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Kemboja, Filipina dan lain-lain. Ia merupakan program terbesar yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sejak tahun 2015. Tahun ini sudah kali yang ke-10 Perkampungan Sunnah berlangsung dan ia sudah mula dikenali sebagai program di peringkat Nusantara apabila ramai penceramah dan pengunjung terdiri daripada warga Indonesia, Thailand dan tahun ini ada juga dari Timur Tengah.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button