Nasional

Perlis benarkan jemaah rapat saf mulai esok

BERMULA esok, Perlis membenarkan jemaah yang hadir bersama ahli keluarga tinggal sebumbung untuk merapatkan saf ketika solat di semua masjid di negeri ini.

Bagaimanapun, kebenaran merapatkan saf itu tidak diberi untuk jemaah lain yang masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah ketetapan merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selepas melihat kepada keperluan sedia ada dan tahap ketaatan serta kepatuhan tinggi seluruh rakyat terhadap SOP ditetapkan kerajaan.

“Jemaah yang hadir bersama keluarga tinggal sebumbung boleh merapatkan saf sesama mereka, manakala jemaah lain perlu terus mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter seperti ditetapkan dalam SOP,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, kebenaran itu turut terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu termasuk solat Tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid serta surau asrama saja, manakala pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh Perlis masih tidak dibenarkan.


Pada masa sama, baginda mengingatkan rakyat sentiasa mengutamakan integriti dan kejujuran dalam menjamin kelancaran pelaksanaan ketetapan dibenarkan. – BERNAMA

(Visited 226 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button