Politik

Dipecat, digantung…

JIKA tiada kisah Tun Faisal Ismail digantung enam tahun keahlian UMNO, perhimpunan agung parti itu yang berakhir hari ini, hanya satu perhimpunan hambar dan retorik.

Ucapan para pemimpin, perbincangan di dalam grup media sosial dan kenyataan media yang terlampau berleluasa menjadikan ia bukan lagi sesuatu yang dinanti-nanti oleh rakyat negara ini.

Kebanyakan rakyat negara ini lebih gemar berdiskusi tentang perkahwinan artis popular Neelofa berbanding apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia yang dahulunya Pusat Dagangan Dunia Putera.

Sebelum pilihan raya yang lalu perhimpunan agung lebih hangat dan panas, tetapi akhirnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gulung tikar ditewaskan oleh Pakatan Harapan (PH).

Selepas 22 bulan, UMNO bersekongkol dengan Pas dan Bersatu serta serpihan parti lain membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), setelah kerajaan PH runtuh.

UMNO semasa menjadi pembangkang dilihat lebih baik dari segi menguruskan para pemimpinnya kerana serangan hanya disasarkan kepada pihak lawan.

Apabila mereka kembali ke dalam kerajaan mereka bertikaman dengan rakan sekutu dan menyerang sesama sendiri.

Dek kerana keterbukaan yang diamalkan serta meraikan perbezaan pendapat, akhirnya ia tidak terkawal.

Pertempuran terbuka di antara Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan juga Ahli Parlimen Ketereh memasuki fasa semakin buruk.

Pertempuran bekas rakan akrab yang sama-sama membangunkan semula UMNO setelah diluluh lantak tewas pada pertempuran dengan PH, hanya kerana berpunca perbezaan pendapat dengan siapa harus UMNO dibawa bekerjasama.

Zahid yang kecewa dengan PN diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu, mula mencari rakan sekutu lain bagi meninggalkan dan merobohkan kerajaan PN yang mempunyai majoriti tipis.

Zahid menuduh Muhyiddin menikam UMNO dari belakang dan mahu menamatkan riwayat parti keramat orang Melayu itu.

Ditengah-tengah pertikaian itu mangsa ialah Datuk Tun Faisal Ismail yang merupakan pegawai media kepada Annuar.

Sebagai pengikut Tun Faisal hanya mempertahankan bosnya Annuar, tetapi ia sukar disukat di mana had yang harus dipatuhi.

Had itu hanya akan diketahui apabila dikenakan tindakan. Tun Faisal digantung enam tahun keahliannya dan sekaligus boleh mematikan karier politik beliau.

Ruang membuat rayuan masih terbuka, dan jika Tun Faisal bertenang dan tidak melatah, mungkin tempoh itu disingkatkan atau digugurkan hukuman berkenaan.

Lagipun Tun Faisal bertugas di pejabat Annuar juga atas arahan Ahmad Zahid sendiri. Sedangkan bekas Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya itu sudah tidak aktif di radar politik.

Ini menjadi titik kepada Tun Faisal untuk melihat kembali dan menyusun semula gerak kerja politik beliau. Jika beliau istiqomah bersama UMNO pasti beliau tidak akan dipinggirkan.

Ahmad Zahid sendiri pernah tergelincir perjuangan ketika mengikut bosnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan reformasi selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO, sebelum mendakwa Anwar di atas kes penyalahgunaan kuasa dan melakukan hubungan badan secara songsang dengan lelaki lain.

Kini Ahmad Zahid ialah Presiden UMNO. Beliau perlu bertindak bagi memastikan parti yang diterajui tidak terus digoncang dan hilang kestabilan hanya kerana sekelompok pemimpin yang mahu Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

UMNO boleh memilih pemimpin lain apabila pemilihan diadakan kelak dan perbuatan menjatuhkan presiden hanya menggugat parti itu sendiri, apatah lagi ia sedang berada di dalam mode survival selepas kekalahan yang dialami.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang telah setahun dipecat ialah Datuk Lokman Adam.

Beliau juga tidak dapat menahan diri daripada menyerang presiden sehingga akhirnya memaksa tindakan tegas diambil.

Lokman masih kekal bersama UMNO kelibat beliau masih kelihatan di perhimpunan agung kali ini.

Dipecat dan digantung adalah asam garam politik. Dr. Mahathir sendiri dipecat kerana mengkritik presiden, tetapi apabila berlaku perubahan kepemimpinan parti, beliau diterima kembali ke dalam parti.

Pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO terus kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu. Tidak ada pemimpin yang lebih besar daripada parti itu sendiri.

Kerana jatuh bangun parti sebahagian besar bukan kerana pemimpin, tetapi kerana kekuatan sokongan akar umbi dan terasnya orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Semoga Tun Faisal bertenang dan bertindak mengikut saluran selepas ini, kerana UMNO rugi kehilangan pemimpin seperti beliau dan Lokman.

TUN FAISAL dikerumuni petugas media.

 

 

 

(Visited 353 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button