NasionalNegeri

Tiada cukai jalan, insurans kesalahan pengguna jalan raya tertinggi di Perlis

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengenalpasti kes tiada cukai jalan dan insurans adalah kesalahan paling tinggi yang dilakukan oleh pengguna jalan raya di negeri ini.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, ia dituruti dengan kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu telah tamat tempoh.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana sekalipun setiap hari dilakukan penguatkuasaan dan advokasi namun tahap kesedaran di kalangan pemandu dan pemilik kenderaan masih kurang.

“JPJ Perlis dari masa ke masa akan terus melaksanakan operasi seperti biasa dan menjadikan kesalahan-kesalahan ini sebagai fokus penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai anggota penguatkuasa JPJ telah menahan seorang lelaki memandu kereta tanpa cukai jalan yang tamat tempoh sejak 9 tahun lalu.

Pemandu kereta tersebut ditahan oleh sepasukan anggota pada satu operasi di sekitar Kangar.

Beliau berkata, lelaki berkenaan telah disaman atas kesalahan memandu Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Pemandu lelaki tersebut diambil tindakan di bawah Seksyen 23(1) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang mana boleh didenda tidak melebihi RM2000 di bawah Seksyen 119 akta yang sama jika disabitkan kesalahan.

Pengarah JPJ Perlis menjelaskan kenderaan pemandu berkenaan juga disita di bawah Seksyen 64(1) APJ. – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button