Parlimen

MP Pembangkang risau MP Keningau masuk dewan tanpa kuarantin

DEWAN Rakyat sekali lagi kecoh dan tergendala kira-kira sembilan minit gara-gara ahli Parlimen pembangkang risau dengan kehadiran Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Gapari Kitingan ke dalam Dewan Rakyat.

Jeffery didakwa baru pulang dari Sabah pada 12 November dan tidak melalui tempoh kuarantin selama 14 hari dan mungkin mendatangkan ancaman kesihatan Covid-19 terhadap ahli Parlimen yang lain.

“Saya Ahli Parlimen Sabah yang telah melalui proses kuarantin, mak cik saya telah meninggal di Keningau saya tak dibenarkan balik, saya telah melalui semua ujian dan telah disahkan oleh klinik bahawa saya bebas daripada Covid tapi itu bukan alasan saya dibenarkan pulang.

“Di dalam dewan ini ada menyatakan MP Sabah tak dibenarkan pulang dan kami diminta berkorban. Saya taleh berkorban selama dua bulan, kalau begitu lebih baik kami balik hujung minggu lepas. Kita akur saya berkorban, YB Keningau dibenarkan masuk. Ini soal keselamatan kami ahli-ahli Parlimen,” kata Ahli Parlimen Sepanggar (Warisan) Datuk Aziz Jamman.

Beberapa ahli Parlimen Pembangkang bangun meminta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said mengarahkan Jeffery untuk keluar dari Dewan Rakyat dengan segera kerana khuatir dengan ancaman jangkitan Covid-19.

Azalina berkata, beliau tidak dapat berbuat demikian selagi tidak mendapat kepastian daripada Parlimen dan meminta ahli Parlimen pembangkang supaya bersabar sementara Setiausaha Dewan Rakyat memberikan jawapan.

“YB Tak dapat buatkan keputusan kerana saya perlu dapatkan kepastian. YB mesti faham kalau mereka masuk dalam pintu depan mereka dalam bidang kuasa perlimen.

“Saya tdak boleh buat keputusan, saya minta masa, boleh beri keadilan kepada saya?” tegas Azalina.

Beberapa minit kemudian beliau membacakan kenyataan daripada Setiausaha Dewan Rakyat bahawa Jeffrey telah mendapat kelulusan daripada Klinik Dewan Rakyat.

“Ini jawapan daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Yang Berhormat telah dibenarkan hadir oleh Dr. Klinik parlimen bleiau telah mendapatkan relief order selepas tamat kuarantin daripada Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen pembangkang masih tidak berpuas hati dan mendesak Azalina meminta Jeffery keluar daripada Dewan.

Azalina berkata, jika ahli Parlimen Pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat mereka boleh meminta penjelasan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Sementara itu Azhar yang mengantikan Azalina mempengerusikan Dewan Rakyat kemudiannya, memaklumkan beliau telah mendapat pemberitahuan daripada Kementerian Kesihatan yang membenarkan Jeffery menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Saya mendapat pemberitahuan bahawa beliau dikuarantin dari 12 November. Keputusan ujian negatif dan diberi clearence dan gelang tangannnya dipotong pada 23 November. Itu maklumat yang saya dapat. Kalau ingin saya memeriksa lebih lanjut. Perlu beri saya masa,” kata Azhar.

Azhar juga turut meminta untuk Jeffery keluar dari Dewan Rakyat sehingga beliau mendapat penjelasan.-SM

 

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button