Ekonomi

Konsesi ERL dilanjutkan 30 tahun, kadar tambang ikut pertimbangan pasaran

KERAJAAN melanjutkan perjanjian konsesi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, bermula dari 2029 hingga 2059.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pelanjutan konsesi selama 30 tahun itu akan membolehkan ERL menentukan kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran.

Katanya, kerajaan juga tidak akan lagi membayar apa-apa bayaran caj atau fi dari sumber pendapatan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) kepada pihak ERL.

Buat masa ini, ERL menerima bayaran daripada kutipan PSC berjumlah RM1 bagi setiap penumpang penerbangan domestik dan RM5 bagi setiap penumpang penerbangan antarabangsa yang melalui KLIA.

“Kaedah ini dilihat sebagai situasi menang-menang. Pengguna juga dapat menikmati tawaran-tawaran perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak ERL, kerajaan tetap komited untuk menggalakkan dan menambahbaik perkhidmatan alternatif ke KLIA yang mewujudkan persaingan yang sihat.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ERL untuk sentiasa memastikan pencapaian keseimbangan antara pengoptimuman hasil dan penawaran pilihan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna. ERL perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berada di tahap optimum sejajar dengan harga tambang yang dikenakan,” katanya.

Loke berkata lanjutan konsesi yang dibuat lebih awal itu membolehkan ERL merancang dan melaksanakan pelaburan bagi menambhbaik kemudahan dan perkhidmatannya.

“ERL perlu berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menarik lebih ramai penumpang menggunakan kedua-dua perkhidmatan rel yang menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur dan KLIA,” kata beliau. – SM

Artikel berkaitan > Projek HSR diteruskan semula jika BN menang

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button