Nasional

PERKESO dan Persatuan PKS berkolaborasi promosi Inisiatif Jaminkerja – Insentif Penggajian

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia berkolaborasi untuk mempromosikan inisiatif’ JaminKerja – Insentif Penggajian’ kepada majikan dalam kalangan PKS di seluruh negara bagi merealisasikan sasaran Kerajaan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu melalui program ini pada tahun ini melalui Siri Webinar JaminKerja – Insentif Penggajian yang dilancarkan hari ini.

Majikan yang mengambil bahagian dalam siri webinar ini juga berpeluang mengetahui tentang perkhidmatan PERKESO yang berkaitan seperti bantuan pengambilan pekerja dan juga perkhidmatan lain yang ditawarkan melalui Portal Pekerjaan Kebangsaan, MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Baca artikel ini > PERKESO proses tuntutan kes Covid-19 bawah penyakit khidmat

PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi negara, menjana hampir 70% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2020, PKS menyumbang 38.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara 97.2% daripada semua syarikat yang beroperasi di negara ini terdiri daripada PKS. Ketika negara kini beralih ke fasa endemik dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan aktiviti ekonomi yang semakin rancak, sektor PKS dijangka akan beransur pulih dan mula mengambil pekerja baharu dalam meneruskan perniagaan mereka.

Dalam fasa pemulihan ini, perniagaan PKS akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif JaminKerja – Insentif Penggajian yang menawarkan majikan yang layak dengan insentif kewangan sehingga RM42,000 untuk setiap pekerja tempatan yang digajikan. Pekerja yang digajikan pula layak menerima Elaun Mobiliti berjumlah RM500 (sekali bayar) untuk menampung kos berkaitan tawaran kerja yang diterima seperti perbelanjaan berpindah berdekatan tempat kerja baharu.


Baca artikel ini > PERKESO, MRC jalin kerjasama strategik rangsang penglibatan pekerja tempatan

Sehingga 31 Mac 2022, seramai 5,162 pekerja telah diambil bekerja oleh 1,750 majikan menerusi Program JaminKerja – Insentif Penggajian. Sebelum ini, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Latihan PenjanaKerjaya yang dilaksanakan PERKESO telah membantu 31,875 majikan mendapatkan 272,779 pekerja pada tahun 2021.

Program JaminKerja – Insentif Penggajian yang dilaksanakan pada tahun ini akan mempercepatkan proses pengambilan pekerja apabila Kerajaan memberikan subsidi gaji tenaga kerja kepada majikan untuk tempoh maksimum 12 bulan. Insentif ini bertujuan membantu memenuhi keperluan tenaga kerja PKS yang sedang bangkit semula daripada pandemik atau sedang mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan pemulihan ekonomi negara dan global. Selain daripada program JaminKerja – Insentif Penggajian, PERKESO juga menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan untuk majikan menerusi MYFutureJobs. Perkhidmatan penggambilan pekerja – aset syarikat yang paling berharga – ditawarkan oleh PERKESO tanpa sebarang kos.

Kolaborasi antara PERKESO dan Persatuan PKS Malaysia menggambarkan kesungguhan dan komitmen kukuh PERKESO dalam menyokong sektor PKS untuk bangkit semula daripada krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19. Ia juga selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membina semula ekonomi pasca COVID-19.

Baca artikel ini > 42,926 individu telah terima manfaat dari program RTW PERKESO

Bagi memperluaskan jangkauan inisiatif JaminKerja – Insentif Penggajian dalam kalangan majikan PKS di negara ini, siri webinar ini akan diteruskan di Sarawak pada

14 April, diikuti Johor pada 21 April dan Perak pada 27 April 2022. PERKESO menjemput majikan PKS menyertai taklimat dalam talian tersebut bagi mendapatkan penerangan lanjut tentang JaminKerja – Insentif Penggajian serta perkhidmatan PERKESO yang lain untuk para majikan.

Majikan yang berminat untuk menyertai Siri Webinar JaminKerja – Insentif Penggajian ini boleh mendaftar di https://bit.ly/3qWkCwo atau hubungi Hotline JaminKerja – Insentif Penggajian di 03-8091 5300. Majikan juga boleh mendaftar melalui portal MYFutureJobs, www.myfuturejobs.gov.my dan berhubung terus dengan Pegawai Perhubungan Majikan PERKESO untuk bantuan pengambilan pekerja yang disesuaikan dengan keperluan perniagaan. – SM

 

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button