NasionalNegeri

FAMA Perlis buka Pusat Pengumpulan Ladang baharu di Panggas

Mohd Anzara Azizan melihat ladang salah seorang pengusaha yang menjual mangga muda Sala kepada FAMA.

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis bakal membuka sebuah Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) baharu di Panggas dalam usaha membantu pengusaha dapat memasarkan hasil komoditi dengan lebih mudah khususnya pada musim mangga Harumanis yang bakal dituai mulai 24 Mac depan.

Mohd Anzara Azizan

Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata, pembukaan PPL baharu ini ekoran terdapat tiga pengusaha pelbagai komoditi di kawasan ini selain mangga Harumanis.

Beliau berkata, pembukaan PPL ini yang diwartakan secara tidak rasmi akan membolehkan hasil pertanian pengusaha di sini akan lebih terjaga.

Beliau berkata, pembukaan PPL dilihat sangat sesuai kerana jalan masuk ke kawasan pertanian ini tidak elok yang pastinya menyukarkan kalangan pengusaha untuk memasarkan hasil masing-masing.

“Tambahan pula seorang dari pengusaha ini telah bersetuju untuk menjadi wakil PPL kawasan ini,” katanya yang sebelum ini mahukan FAMA memperkasakan PPL di negeri ini selain pasukannya akan ‘turun padang’ membeli hasil komoditi pengusaha.

Berikutan itu kata Mohd Anzara, pihaknya telah melaksanakan langkah tersebut di mana telahpun masuk ke Kampung Panggas dan Bilal Udoh bagi membeli mangga muda Sala baru-baru ini.

“FAMA telah membeli 3.4 tan metrik mangga muda yang melibatkan enam pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, mangga muda Sala ini dibeli dengan harga RM1.10 sekilogram (kg).

Katanya, harga lantai mangga muda Sala pada tahun sebelum ini adalah 70 sen sekg.

Pasukan FAMA kini “turun padang” membeli terus mangga Sala dan juga Harumanis di ladang pengusaha.

Mohd Anzara berkata, pihak FAMA bersedia masuk kampung jika pengusaha berminat menjual mangga Harumanis dan Sala.

Bagaimanapun katanya, pengusaha perlu menghubungi pihak FAMA terlebih dahulu bagi memastikan penyediaan logistik yang mencukupi dapat dilakukan. – SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button