Ekonomi

Kerajaan bakal lancar DAN 2.0, transformasi sektor agromakanan

Kerajaan memfokuskan pengeluaran makanan dan input ternakan secara tempatan melalui Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat banyak lagi inisiatif yang dirangka untuk membantu petani, penternak dan peladang dalam rantaian nilai sistem makanan secara tidak langsung.

Justeru, kerajaan juga akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 atau singkatannya DAN 2.0 tidak lama lagi, katanya.

“DAN 2.0 berupaya mentransformasikan sektor agromakanan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru saudara dan saudari terutama golongan muda agar menyokong usaha kerajaan membawa teknologi moden seperti penggunaan Internet of Things (IoT), Teknologi Pendigitalan, Teknologi Mekanisasi dan Automasi dalam sektor agromakanan di era IR 4.0 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan secara webinar hari ini.

Turut hadir pada sesi tersebut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Muhyiddin berkata, usaha kerajaan itu akan dapat melonjakkan sektor agro makanan ke satu dimensi yang lebih kompetetif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran agar sektor ini berkembang dengan lebih pantas dan dalam masa sama mampu memberi pulangan yang lumayan kepada rakyat sebagai golongan sasar.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, dalam mendepani pandemik Covid-19, golongan peladang, penternak dan nelayan tidak pernah dipinggirkan.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM640 juta kepada MAFI dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Tidak setakat itu, malah Projek Pertanian Kebuniti juga diteruskan tahun ini dengan nilai RM30 juta khas buat golongan B40, katanya.

Tambah beliau, peruntukan yang disediakan itu adalah bertujuan membantu golongan sasar mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi demi kelangsungan bekalan makanan negara dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada peladang, penternak dan nelayan memperoleh pendapatan secara berterusan.

“Kerajaan terus menyediakan peruntukan besar kepada MAFI setiap tahun. Menerusi Bajet 2021, sejumlah RM4.79 bilion telah diperuntukan kepada MAFI untuk terus merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara. Khusus buat 300,000 orang pesawah, sejumlah RM1.53 billion peruntukan diluluskan bagi subsidi dan insentif pengeluaran padi negara.

“Bagi memperkasakan lagi industri padi dan beras, kerajaan telah memperkenalkan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) untuk menghapuskan atau mengurangkan peranan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara selain meningkatkan pendapatan pesawah.

“Program SMART SBB ini akan membantu negara untuk mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 75 pertus dalam tempoh RMKe-12,” ujarnya.

Bagi nelayan laut pula Muhyiddin berkata, elaun sara hidup bulanan kepada mereka telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, manakala, nelayan darat, elaun sara hidup dinaikan daripada RM200 kepada RM250 sebulan. Ianya memanfaat 43,400 orang nelayan dengan peruntukan sebanyak RM151 juta setahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, dalam meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan, Lembaga Ruminan Negara yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) akan ditubuhkan dan dijangka beroperasi secara berfasa bermula pada tahun 2022.

Kerajaan juga kata beliau, memperuntukkan sebanyak RM338 juta di bawah Dana Jaminan Makanan Negara (DJM) bagi memastikan MAFI terus meneroka program-program berpotensi dan berimpak tinggi.

Peruntukan dan dana-dana itu jelasnya, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu rakyat selaku kumpulan sasar yang amat penting di bawah MAFI.

Dalam pada itu jelasnya, sejumlah RM60 juta yang diperuntukan telah diluluskan di bawah DJM terdiri daripada Projek Pertanian Organik dan Projek Ladang E-Satelit.

Ianya dijangka memberi manfaat kepada seramai 1,700 orang peladang, katanya.

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button