Luar Negara

Singapura catat 20 kes baharu Covid-19

SINGAPURA mencatatkan 20 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kepada 57,685.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan, terdapat lima kes import yang diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatannya setakat ini, kementerian itu mendapati terdapat satu kes komuniti membabitkan seorang pemegang pas kerja.

Kementerian itu berkata, ia sedang meneliti kes-kes dan dijangka mengeluarkan data yang dikemas kini malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu mendedahkan kesemua 11 kes yang dilaporkan semalam, tidak bergejala dan dikesan menerusi langkah proaktifnya melakukan saringan dan pemantauan.

Setakat ini, MOH mengklasifikasikan 1,036 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,244 kes komuniti dan 54,385 kes melibatkan penghuni asrama.

Kementerian itu berkata 57,341 kes sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sejumlah 29 kes disahkan masih berada di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sementara itu, 268 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu. Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. – SM

 

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button