Agama

Perkampungan sunah platform diskusi topik semasa kaedah sebenar beragama

‘Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7’ yang sedang berlangsung di Masjid Alwi Kangar dari 17-19 Jun 2022 adalah bagi membekalkan platform untuk membincangkan topik-topik semasa sebagai usaha pendedahan kepada kepentingan dalil dan kaedah yang benar dalam beragama. Hanya melalui kaedah yang benar, khasiat Islam itu sendiri dapat diambil manfaat oleh para pengikutnya. Program sebegini dilihat bukan sahaja berbentuk perkongsian ilmu, tetapi juga pendedahan kepada masyarakat berkenaan idea dan tunggak pemikiran utama yang didokong bersama.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Alwi Kangar sempena program Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7 pada pagi tadi. Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya Ismail Hashim.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Mufti Perlis Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, di dalam era di mana ‘hujung’ dan ‘pangkalnya’ semakin sukar dikenal pasti, ditambah dengan arus globalisasi dan kemodenan, yang tampak menenggelamkan keutamaan beragama, hatta di kalangan umat Islam sendiri, usaha ini merupakan usaha yang semakin sukar. Sedemikianlah sunnatullah, dalam kesukaran itu ada ganjaran dan pahala yang banyak, dalam kekaburan itu terletak jalan menuju kepada tuntutan memperluaskan pengetahuan.

Jelas Tuanku Raja Muda, ‘Tidak mustahil, satu usaha yang awalnya dilihat sebagai asas mengislahkan masyarakat ramai, kita sedar di akhirnya bahawa yang dijumpai adalah kesedaran dan kematangan diri sendiri’.

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button