Agama

Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 bawa tema agar kembali kefahaman yang benar

KANGAR: Program Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 (PS10) pada tahun ini membawa tema yang sangat bertepatan dengan realiti umat Islam hari ini, iaitu: ‘Islam Mengangkat Kebijaksanaan, Meruntuh Kedangkalan’.

Ia merupakan satu tema yang menyeru umat Islam agar kembali kepada kefahaman yang benar, menolak kejahilan, dan menjadikan ilmu sebagai asas dalam beragama.

Sesungguhnya seluruh warga yang menetap dan tinggal di negeri Perlis ini hendaklah merasa bersyukur dan beruntung kerana pada tahun ini, kita sekali lagi diberi peluang untuk mendalami dan mempelajari ilmu agama melalui Program Perkampungan Sunnah ini.

Seluruh masyarakat negeri ini juga diundang untuk bersama-sama menghadiri dan menghayati kuliah serta majlis ilmu dalam Program PS10 ini sebagai satu langkah menuju jalan ilmu dan hidayah. Mudah-mudahan rakyat dan negeri ini terus dilimpahi rahmat, keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli Khas yang berlangsung di sekitar bandar Kangar sempena Perkampungan Sunnah Siri Ke10 pada kali ini.

Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) ini

berlangsung selama tiga hari, bermula Jumaat 9 Mei hingga Ahad 11 Mei 2025 di Masjid Alwi, Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengadakan lawatan serta menyantuni para tetamu yang hadir ke majlis ilmu tersebut, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan Baginda terhadap usaha memperkasa ilmu Islam di negeri ini.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Raja Muda singgah di tiga buah rumah keluarga asnaf terpilih dan berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Ahmad Zali Itam, 82, dari Jalan Sekolah Derma, Norshah Hassan, 73, dari Kampung Bakau, dan Tajudin Mohd Khihar, 45, dari Jalan Hospital, Kangar.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.

Untuk rekod, Program Perkampungan Sunnah ini merupakan acara keilmuan Islam tahunan yang menghimpunkan para ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara bagi menyampaikan ceramah, forum, dan sesi soal jawab yang bertujuan memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button