Bencana alamNasional

PM Anwar Ibrahim akan ke Turkiye malam ini

PM berkata, beliau dihubungi sendiri oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang memintanya ke sana

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Turkiye malam ini bagi memenuhi permintaan Presiden Recep Tayyip Erdagon yang menghubungi beliau sebanyak dua kali.

Pemergian Anwar juga sebagai tanda sokongan moral kepada negara yang dilanda musibah gempa bumi, baru-baru ini.

Anwar berkata, memandangkan Malaysia antara negara terawal menghantar bantuan kemanusian ke negara itu dan dihubungi dua kali oleh Erdogan selepas Turkiye dilanda gempa bumi, itulah sebabnya beliau ke sana.

“Saya diminta oleh Presiden Turkiye untuk segera ke sana untuk memberikan sokongan moral dan saya telah menimbangkan terpaksa bertolak malam ini ke Turkiye bagi menunjukkan sokongan kita.

“Beberapa negara telah sampai dan Erdogan secara peribadi telah meminta saya untuk ke sana,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan setakat ini hanya membelanjakan RM4 juta sebagai kos menghantar pasukan mencari dan menyelamat Smart ke Turkiye.

Katanya, segala kos menerbangkan pasukan tersebut ditaja oleh kerajaan Turkiye.

“Setakat ini, sekitar RM4 juta sahaja dibelanjakan untuk Smart dan kita hantar dua pasukan. Pada malam ini, satu lagi pasukan akan dihantar termasuk tentera dengan kemudahan hospital yang telah dipasang dan beroperasi.

“Kita telah mengumpulkan RM20 juta termasuk USD1 juta (kira-kira RM4,348,500) daripada kerajaan dan (sumbangan) USD1 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.

Turkiye dan Syria dilanda gempa bumi dengan magnitud 7.8 pada skala Richter pada Isnin lepas. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Setakat semalam, jumlah korban akibat gempa bumi menjangkau lebih 35,000 orang. – SM

 

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button