Nasional

Kerajaan fokus bangunkan ekonomi luar bandar

Kerajaan terus memberi tumpuan kepada sektor keusahawanan yang merupakan antara elemen penting untuk memacu pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan penduduk luar bandar, kata Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun negara telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan infrastruktur di luar bandar, namun bidang ekonomi masyarakat luar bandar perlu diperkasakan.

“Kita mahu penduduk kampung menceburi pelbagai bidang ekonomi yang bukan sekadar aktiviti ekonomi tradisional, seperti bercucuk tanam dan menoreh getah, atau menjadi nelayan kecil-kecilan bagi mereka yang tinggal di pesisir pantai.

“Usahawan desa sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke peringkat lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong, di sini hari ini.

Perdana Menteri sementara itu juga berkata usaha memperkasa masyarakat luar bandar adalah selaras dengan matlamat aspirasi Dasar Pembangunan Luar Bandar, dengan tiga prinsip utama iaitu mampan, inklusif dan holistik, ke arah wawasan kawasan luar bandar yang sejahtera menjelang 2030.

Selain itu, katanya usahawan luar bandar juga berpotensi untuk berkembang melalui penggunaan teknologi yang membolehkan mereka memasarkan jualan produk secara dalam talian ke pasaran antarabangsa.

Ismail Sabri dalam ucapannya turut berkata pembangunan luar bandar menjadi keutamaan kerajaan, seperti yang dapat dilihat dalam pembentangan Bajet 2023 iaitu peruntukan RM10.93 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), empat peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan itu menurutnya bagi memastikan perancangan dan strategi bersepadu untuk pembangunan luar bandar dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Mengulas mengenai mini karnival itu, Ismail Sabri berkata ia adalah sebahagian daripada program pemasaran KPLB untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan menyediakan platform untuk mempromosikan kemudahan dan insentif yang ditawarkan oleh sektor swasta dan awam.

Karnival dua hari yang berakhir hari ini membabitkan penyertaan usahawan tempatan dan pelbagai agensi di bawah KPLB dan dijangka menarik 10,000 pengunjung dengan nilai jualan RM100,000.

 

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button