Nasional

Perintah kawalan: Singapura akan berhubung dengan Malaysia

SINGAPURA, 16 Mac – Singapura akan terus berhubungan dengan Malaysia, sesuai dengan perkembangan semasa, kata Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Chan Chun Sing dalam responsnya mengenai perintah kawalan pergerakan di Malaysia.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan bahawa rakyat dan perniagaan kami dapat meneruskan kehidupan serta urusan mereka,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan di seluruh negara mulai 18 hingga 31 Mac 2020 berikutan wabak COVID-19.

Perintah itu, yang pertama dalam sejarah negara, telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam satu siaran langsung malam tadi.

Sejumlah 125 kes baharu COVID-19 yang positif telah dilaporkan hari ini, membawa angka kepada 553 kes di Malaysia.

Chan menasihatkan perniagaan yang mengambil pekerja Malaysia yang berulang-alik di antara Singapura dan Malaysia, mungkin perlu mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan mereka.

Republik itu semalam, telah mengumumkan sekatan sempadan ke atas kemasukan rakyat negara asing termasuk dari ASEAN

Bagaimanapun ia tidak merangkumi perjalanan laut dan darat membabitkan Malaysia, yang bermakna bahawa rakyat Malaysia dan Singapura masih boleh berulang-alik dari kedua-dua belah sempadan seperti biasa.

Dalam satu pengumuman yang dibuat pada Ahad lepas, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura Mengenai COVID-19, Lawrence Wong berkata walaupun perintah itu terpakai kepada seluruh ASEAN, ia telah membuat satu perjanjian berasingan dengan Malaysia melalui kumpulan kerja dua hala.

Pertimbangan khas telah diberi kepada Malaysia memandangkan lokasinya yang sangat dekat serta saling kebergantungan yang sangat tinggi di antara kedua-dua negara, kata Lawrence.

“Kami memang memerlukan langkah berjaga-jaga, memandangkan jumlah orang dan kenderaan yang bergerak masuk dan keluar,” katanya.

Berkuat kuasa pada jam 2359, 16 Mac 2020, semua individu yang memasuki Singapura dengan sejarah perjalanan terkini ke negara ASEAN, Jepun, Switzerland atau United Kingdom dalam tempoh 14 hari terakhir akan dikeluarkan notis 14 hari Duduk di Rumah (SHN).

— BERNAMA

 

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button