Alam Sekitar

TUDM laksanakan operasi pembenihan awan di P. Pinang pada awal Mei

Operasi pembenihan awan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di sini bagi gelombang pertama telah dijadualkan semula untuk dimulakan pada awal Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K.Pathmanathan berkata rasional utama di sebalik langkah ini adalah untuk memaksimumkan potensi hujan lebat dengan menjalankan operasi pembenihan awan hanya apabila keadaan cuaca optimum.

“Penjadualan semula operasi pembenihan awan itu adalah berdasarkan cadangan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) iaitu pada awal Mei apabila keadaan cuaca optimum ketika awan hujan besar diramalkan hadir pada ketinggian yang betul.

“Operasi dijadualkan semula berdasarkan keadaan cuaca dan kawasan sasaran operasi ialah Empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang. Kami menyokong sepenuhnya pendekatan berorientasikan hasil ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan operasi pembenihan awan dijangka dilaksanakan pada 29 April hingga 7 Mei ini bagi membantu mencetuskan hujan di kawasan tersebut.

Pathmanathan berkata pesawat TUDM yang menjalankan operasi pembenihan awan pada Mei depan akan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di Selangor dengan seorang jurutera PBAPP telah ditugaskan untuk berada dalam pesawat bagi menyaksikan setiap misi di Pulau Pinang.

Katanya, PBAPP juga akan memantau hasil operasi pembenihan awan dengan merekodkan hujan di kawasan tadahan air yang disasarkan dan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang selepas operasi selesai.

”Bergantung kepada hasilnya, kerajaan negeri dan PBAPP mungkin memohon lebih banyak operasi pembenihan awan pada tahun ini dan kami juga menghargai sokongan baik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), TUDM, METMalaysia dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) dalam mengatur dan mempercepatkan operasi pembenihan awan untuk Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sehingga semalam kapasiti Empangan Air Itam merekodkan paras 43.6 peratus berbanding 82 peratus pada 1 Jan manakala Empangan Teluk Bahang pula berada pada paras 49.1 peratus berbading 64 peratus bagi tempoh sama, kedua-duanya telah berkurangan kerana kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan air yang berkaitan.

”Musim kemarau yang berpanjangan (yang berkaitan dengan perubahan iklim) dan permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang sejak awal Januari adalah punca utama fenomena ini,” katanya.

Menurutnya empangan-empangan tersebut perlu diisi semula dengan air sebanyak mungkin bagi mengelak krisis bekalan air yang berpotensi berlaku di Pulau Pinang sebelum musim hujan akan datang.

— BERNAMA

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button