Politik

Perikatan Nasional pejuang peneroka Felda

KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, PN akan memperjuangkan supaya setiap peneroka Felda di seluruh negara diberi hak milik kekal terhadap tanah yang diusahakan.

Pada ketika ini, katanya, status tanah peneroka Felda adalah pajakan 99 tahun dan berbaki kira-kira 30 tahun lagi.

Menurut Mohd. Solihan, penganugerahan hak milik kekal kepada 112,635 peneroka adalah sebagai satu pernyataan terima kasih negara bagi menghargai komitmen dan pengorbanan mereka meneroka hutan untuk menanam benih kelapa sawit sehingga berjaya menghasilkan komoditi eksport utama negara sejak tanah rancangan pertama diwujudkan pada 1958 lalu.

“Perikatan Nasional melihat langkah memberi hak milik kekal tanah tersebut juga akan menokok keluasan tanah milik tetap di kalangan orang Melayu.

“Malahan kepentingan tanah itu terjaga dan boleh dilindungi dengan lebih baik jika dikategorikan sebagai tanah rezab Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Apabila Perikatan Nasional mendapat sokongan padu dan dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, kata Mohd. Solihan, PN akan memperjuangkan supaya proses menyerahkan hak milik tersebut kepada peneroka atau waris mereka.

“Ini mesti dilakukan segera memandangkan banyak kawasan tanah Felda kini tempoh pajakannya sudah melebihi 60 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk menjamin proses ini boleh disegerakan, PN akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan bagi membantu peneroka melunaskan baki premium tanah masing-masing supaya proses memindahkan geran hak milik kepada hak milik kekal boleh dilakukan segera selepas itu.

Katanya, asas kepada usaha ini adalah sokongan rakyat Johor khususnya kalangan komuniti Felda sendiri untuk memenangkan calon-calon Perikatan Nasional dan seterusnya melayakan parti  menerajui kerajaan Negeri Johor.

“Selepas itu, kami akan segera memulakan tugas untuk melaksanakan Ikrar Perikatan Nasional untuk kepentingan, keprihatinan serta kemakmuran rakyat Johor menerusi 8 tunjang utama.

“Ini termasuk menerusi strategi mensejahterakan komuniti Felda di negeri ini yang turut melibatkan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan serta Felda khususnya,” jelasnya.

Untuk rekod, Felda tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 dan akta ini perlu disemak dan kaji semula khususnya bagi melonggarkan atau mengenepikan halangan bagi sebarang urusan berkaitan tanah termasuk urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah dan wasiat melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Felda.

“Bagaimanapun, kami difahamkan setakat ini tiada kelulusan berkaitan semua urusan itu pernah dibenarkan oleh Felda,” katanya.

Untuk rekod, keluasan tanah Felda adalah 351,000 hektar yang melibatkan 112,635 peneroka yang mendiami 317 tanah rancangan itu di seluruh negara. Di Johor, 35 kawasan Felda terletak dalam Felda Wilayah Segamat manakala 44 lagi dalam Felda Wilayah Johor Bahru.

Justeru Perikatan Nasional mahu memperjuangkan perkara ini khusunya pindaan dan penambahbaikan kepada GSA.

“Ini soal yang melibatkan pewarisan harta pusaka peneroka Felda dapat diwarisi generasi seterusnya seiring dengan jasa dan kegigihan selama ini mengusahakan tanah tersebut,” katanya.

Tambah beliau, komitmen Perikatan Nasional berhubung pemberian hak milik kekal tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda ini bukan omong-omong kosong.

“Buktinya, Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“Selain memperuntukan RM400 juta bagi membantu peneroka menghapuskan faedah hutang kebun peneroka serta penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion bagi menyusun semula operasi dan pengurusan Felda,” katanya. – SM

(Visited 262 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button